Home Nasional Peguam bebas perlu wakili KPKT dan JPBM dalam inkues Adib

Peguam bebas perlu wakili KPKT dan JPBM dalam inkues Adib

Peguam, Syazlin Mansor.

SHAH ALAM – Kerajaan perlu melantik seorang peguam bebas dan bukan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dalam pendengaran inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor Zainal Wagimin berkata ini kerana tindakan AGC menamatkan perkhidmatan Syazlin Mansor yang mewakili KPKT dan JPBM dilihat mencampuri perjalanan prosiding inkues.

“Sebagai pesara bomba kami berasa amat sedih dan terkilan dengan tindakan berkenaan, dia (Syazlin) telah menjalankan tugas dengan baik.

“Pada hemat kami juga bomba tidak seharusnya diwakili peguam dari AGC kerana bomba seharusnya berdiri teguh bagi membela kematian anggotanya, Adib mati ketika menjalankan tugas dan kematiannya harus dibela oleh bomba dan pesalah harus dihukum,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Zainal, pihak bomba perlu terus perjuangkan keterangan Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid yang mengesahkan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan oleh perusuh.

“JBPM perlu bersatu hati menentang teori kononnya Adib dilanggar, maka amat tidak kena dan salah jika sekarang JBPM ingin menukar pendirian dan arah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Koroner pada Rabu lepas diberitahu mengenai pelantikan empat peguam baharu bagi mewakili KPKT dan JPBM dalam pendengaran inkues berkenaan.

Mereka adalah tiga Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan; Mazlifah Ayob; dan Fadzilatul Isma Ahmad Refngah dan Peguam Persekutuan Afiq Zainal Abidin.Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis di Institut Jantung Negara.- BERNAMA