Home Nasional Kaji sedalam mungkin cadangan bawa pekerja asing dari Afrika – Menteri

Kaji sedalam mungkin cadangan bawa pekerja asing dari Afrika – Menteri

Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof. foto AFFAN FAUZI, 27 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk membawa pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam sektor perladangan pada masa akan datang perlu dikaji semula.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof, cadangan itu perlu penelitian yang serius oleh kerajaan kerana melibatkan kepentingan awam.

“Kalau ada saranan itu, kita kena kaji sedalam mungkin untuk memastikan adakah ini yang kita mahu lakukan.

“Yang penting pada saya adalah untuk orang tempatan mengisi peluang pekerjaan untuk mendokong industri pembangunan negara.

“Jadi saya lebih kepada mendidik dan melatih masyarakat setempat bagi memastikan pengurangan pekerja asing,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Kopetro Tahunan ke 36, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Redzuan diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran bahawa langkah itu perlu kerana pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia tidak mahu lagi datang untuk bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima tidak jauh berbeza dengan negara asal.

Kula berkata, ia berdasarkan perbincangan dengan duta negara Afrika baru-baru ini.

Bagaimanapun, Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata cadangan itu belum dibawa masuk ke mana-mana mesyuarat Kabinet mahupun Majlis Pekerja Asing.

“Saya belum dengar cadangnya itu dibawa ke mesyuarat Kabinet, saya belum dengar dicadangkan dalam Majlis Pekerja Asing di mana saya ahli dalam majlis itu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette