Home Nasional Mujahid ‘setuju’ dengan dasar penindasan minoriti Xinjiang? – Khaled Nordin

Mujahid ‘setuju’ dengan dasar penindasan minoriti Xinjiang? – Khaled Nordin

Isu itu tercetus apabila Mujahid menerusi laman Facebooknya, pada Rabu lalu, menyatakan beliau dibawa melawat pusat latihan dan vokasional untuk masyarakat Uighur di Xinjiang.

Dalam lawatan itu beliau mendapati pusat tersebut  menjalankan aktiviti latihan perindustrian dengan pelbagai kemahiran seperti menjahit,kelas perundangan,seni,gubahan bunga dan sebagainya.

Berikutan itu, postimng yang dimuat naikkan beliau mendapat kritikan warga net.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan Mujahid bukan sahaja sangat memalukan tetapi sangat melukakan hati umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

MGF18022019_CALON BN WALKABOUT02
Mohamed Khaled Nordin

Katanya, pendirian menteri itu jika tidak dijelaskan, boleh ditafsirkan sebagai pendirian Malaysia dan ia sangat jelek dan tidak boleh diterima dari sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Saya mendesak Kementerian Luar menjelaskan pendirian sebenar Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam perkara ini. Kegagalan berbuat sedemikian akan menyebabkan tindakan Dr Mujahid ditafsirkan sebagai resmi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mujahid sekali lagi menimbulkan kecaman ramai semasa berucap di Universiti Pengajian Luar Beijing semalam, apabila menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai ‘berita palsu’.

Menurut Mohamed Khaled, kenyataan Mujahid menggambarkan betapa terkebelakangnya pendirian Kerajaan PH berkaitan isu hak asasi masyarakat minoriti Islam di Xinjiang.

Tambahnya, penggunaan terma ‘pusat latihan’ adalah an endorsement (sokongan) kepada dasar penindasan umat Islam di Xinjiang.

“Begitu juga apabila beliau menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai ‘berita palsu dari China’ apabila berucap di Bejing Foreign Studies University.

“Tiada ‘pusat latihan’ di Xinjiang. Yang ada adalah ‘concentration camp’ yang mempunyai hanya satu tujuan, iaitu menghapuskan identiti, kepercayaan dan budaya golongan minoritI seperti Uighur, Kazakh, Tajik dan lain-lain,” jelasnya.

Menurut Mohamed Khaled, beliau telah dijemput untuk menghadiri “Thematic Briefing on China’s Ethnic Minority and the Promotion of Unity and Solidarity Among Ethnic Groups in Xinjiang” anjuran Biro Antarabangsa, Parti Komunis China (CPC) pada 25 hingga 28 Februari lalu yang mana hampir 200 perwakilan dari pelbagai parti politik dari seluruh dunia menghadirinya.

Mereka telah diberikan penerangan, malah dibawa melawat dan bertemu serta mendengar pelbagai penjelasan termasuk pertemuan dua hala dengan ‘Vice Minister for Internatinal Cooperation’ dan pegawai tinggi dari Biro Antarabangsa CPC.

“Namun kami tidak dibawa melawat ke kem di mana hampir sejuta orang Islam ditahan,”ujarnya.

Menurutnya, pihaknya telah menyatakan dengan jelas dalam pertemuan dengan perwakilan dari China tentang kebimbangan dan kegusaran beliau terhadap dasar memerangi ektremisme China di Xinjiang.

Katanya, ia tidak boleh dilaksanakan dengan menafikan hak asasi dalam mengamalkan agama, cara hidup dan budaya.

“Malah kami nyatakan juga betapa program lawatan yang dianjurkan tanpa kami dibawa melihat keadaan ‘kem tahanan’ sebenar telah meyakinkan kami bahawa ada sesuatu yang ingin disembunyikan.

“Akhirnya kami berpandangan bahawa apa yang cuba dilaksanakan oleh Kerajaan China ialah usaha sistematik untuk menghapuskan identiti, kepercayaan dan cara hidup masyarakat minoriti di Xinjiang.

“Dan ia dilaksanakan atas nama memerangi keganasan dan memupuk solidariti dan perpaduan,” ujarnya.

Mohamed Khaled berkata, Mujahid seharusnya menyampaikan rasa prihatin, kesal dan protes yang sangat mendalam dalam diri umat Islam Malaysia dan dunia terhadap apa yang berlaku di Xinjiang.

Namun apa yang berlaku ialah beliau memberikan ialah ‘persetujuan’ terhadap dasar penindasan yang sistematik terhadap golongan minoriti khususnya Uighur di Xinjiang. – MalaysiaGazette