Home Politik Isu bawa borang keahlian parti masuk sekolah akan disiasat

Isu bawa borang keahlian parti masuk sekolah akan disiasat

Mohamad Sabu

SUNGAI BULOH – “Saya akan siasat mengenai perkara itu”.

Itu jawapan ringkas Mohamad Sabu berhubung gambar tular dalam media sosial melibatkan tindakan seorang pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang memasuki sekolah dan meminta guru sekolah mengisi borang keahlian parti itu.

Tindakan itu menerima kecaman netizen dari seluruh negara sambil menyifatkan tindakan individu itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana membawa masuk soal politik ke dalam institusi pendidikan.

Ditanya mengenai insiden itu, Mohamad Sabu yang merupakan Presiden AMANAH tidak mengetahui mengenai insiden itu dan akan menyiasat segera perkara itu untuk tindakan susulan.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lebih lanjut mengenai isu itu dalam sidang media di Kem Sungai Buloh selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-54 Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad hari ini.

Semalam Malaysia Gazette melaporkan tindakan beberapa netizen dalam media sosial yang mempersoalkan tindakan seorang Ahli Jawatankuasa  (AJK) Biro Komunikasi AMANAH membawa borang parti itu ke sebuah sekolah untuk diisi keahliannya oleh guru.

Tindakan itu yang dikatakan agak keterlaluan dan tidak beretika apabila parti politik dibawa masuk ke sekolah boleh menjejaskan nama baik kerjaya guru.

Beberapa keping gambar menunjukkan pemimpin parti itu, Tarmizi Mohd Jam menyaksikan seorang guru mengisi borang keahlian AMANAH yang menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak.

Seorang warga net, Khairul Ryzel mempersoalkan, bolehkah seorang penjawat awam dipercayai guru sekolah mengisi atau menerima borang keahlian AMANAH.

Katanya, berdasarkan gambar itu, guru berkenaan mengisi borang keahliannya di bilik guru sebuah sekolah di daerah Perak Tengah.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Netizen kecam PAN bawa borang parti ke sekolah