Home Nasional Polis tahan 94 pendatang tanpa izin

Polis tahan 94 pendatang tanpa izin

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim
Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Seramai 94 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam operasi bersepadu mencegah jenayah warga asing di beberapa lokasi tumpuan mereka di sekitar ibu kota selama dua hari.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi berkenaan yang bermula sejak 4 petang semalam sehingga 5.30 pagi tadi melibatkan lokasi di sekitar kawasan Setapak, stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Stesen Bas Kota Raya, Jalan Chow Kit dan Pasar Chow Kit.

Selain itu, pemeriksaan turut dilakukan di Sri Petaling, Jalan Alor, Jalan Segambut Pusat, Jalan Ipoh, Taman Seri Kuching dan Jalan Tun Razak.

Beliau berkata, pihaknya memeriksa seramai 271 warga asing dan daripada jumlah itu, seramai 90 lelaki dan empat wanita ditahan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Paling ramai ditahan adalah lelaki warga Bangladesh iaitu 30 orang diikuti 28 lelaki warga Myanmar dan 10 lelaki warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Mazlan berkata, pihaknya turut menahan 11 pendatang tanpa izin dari beberapa negara di benua Afrika termasuk seorang wanita, manakala jumlah selebihnya adalah dari India, Nepal, Pakistan, Vietnam dan Yaman.

“Kesemua mereka diambil tindakan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan akta-akta yang berkaitan.

“Tangkapan dalam operasi itu dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk tindakan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan seramai 197 pegawai dan anggota polis kontinjen Kuala Lumpur, bersama enam pegawai dan anggota Jabatan Imigresen.

“Operasi akan diteruskan bagi membanteras kebanjiran warga asing, sekali gus berusaha menurunkan kadar jenayah berpunca daripada warga asing,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pendatang tanpa izin boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette