Home Nasional Air minuman Starfresh, Waterfuns ditarik balik daripada pasaran

Air minuman Starfresh, Waterfuns ditarik balik daripada pasaran

Dua jenama air yang ditarik balik dari pasaran.

KUALA LUMPUR – Kilang yang mengeluarkan air minuman jenama berbungkus (AMB) Starfresh dan Waterfuns telah diarahkan menarik balik produk itu di pasaran tempatan selepas dikesan tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menggantung lesen AMB kilang berkenaan berkuatkuasa 28 Jun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil pemeriksaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di kilang produk tersebut mendapati, program jaminan keselamatan makanan tidak dilaksanakan dengan berkesan.

“Aktiviti pemprosesan dan pengeluaran AMB bagi tujuan perdagangan atau perniagaan adalah tidak dibenarkan dan pihak kilang diarahkan untuk menjalankan tindakan pembetulan dalam tempoh penggantungan lesen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Agensi Makanan Singapura (SFA) dilaporkan telah mengarahkan produk minuman jenama Starfresh ditarik balik daripada pasaran Singapura selepas dikesan tercemar bakteria berkenaan melibatkan produk yang berisipadu 1,500ml dan 500ml dengan tarikh luput pada 13 Mei 2021 dan 11 Mei 2021.

Dr Noor Hisham berkata hasil analisis terhadap jenama Starfresh yang dieksport ke Singapura dan jenama Waterfuns yang dijual di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Katanya pihak kilang juga akan menarik balik secara sukarela lain-lain jenama produk AMB yang terlibat iaitu Iceberg, Sukahati, Rofina, Dixy Green dan Dixy Blue.

“KKM menegaskan produk AMB untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983,” katanya.

Justeru beliau turut menasihatkan pengguna yang telah membeli produk AMB dengan jenama dan tarikh akhir yang terlibat agar tidak minum produk tersebut.

Bakteria Pseudomonas aeruginosa yang boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan serta tanah boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan yang rendah.

Dr Noor Hisham turut meminta pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung perkara itu atau sebarang isu keselamatan makanan supaya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

— BERNAMA