Home Utama AirAsia bukan pilihan terbaik selamatkan MAS

AirAsia bukan pilihan terbaik selamatkan MAS

Malaysia Airlines menawarkan diskaun hebat sehingga 25 peratus tambang ke semua destinasi dalam rangkaian Malaysia Airlines menerusi Travelganza Deals mulai hari ini hingga 24 Feb 2019.

KUALA LUMPUR – AirAsia Berhad bukan pihak terbaik untuk menyelamatkan Malaysia Airlines Berhad (MAS), malah dibimbangi nasib AirAsia akan menjadi seperti MAS jika pengambilalihan itu dilakukan.

Sebaliknya, AirAsia dijangka tenggelam lebih pantas berbanding MAS memandangkan pengambilalihan itu tidak mendapat bantuan kerajaan.

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) berkata, jangan lupa apa yang berlaku pada tahun 2010 yang mana terdapat rancangan untuk mengambil alih dan ia mencadangkan AirAsia untuk membeli beberapa saham di bawah perjanjian pertukaran saham tetapi idea itu gagal,

Pelan itu gagal kerana ketika MAS telah diuruskan dengan betul dan ramai berfikir pengambilalihan itu menjadi satu kelebihan buat Airsia pada masa itu.

Namun selepas pertukaran saham tidak dilakukan, kedudukan MAS kembali goyah.

“Rupa-rupanya beberapa “orang tengah” telah membuat dan kehilangan wang kerana menjadi broker rundingan bagi merancang perjanjian itu Tetapi tanpa menyedari kedua-dua jenama itu berbeza dan kakitangan tidak sama sekali dilatih sama, itulah sebabnya ramai orang di MAS tidak senang.

“Terdapat banyak cadangan pada masa lalu untuk membolehkan AirAsia mengambil alih MAS kerana syarikat penerbangan itu telah membuat nama sendiri. Namun, ia lebih kepada jalan pendek untuk menyelamatkan MAS.

“Tetapi jangan lupa AirAsia hanya World Best pada tahap mereka sendiri dan mereka hanya bersaing dengan syarikat penerbangan kos rendah di seluruh dunia,” katanya di sini.

Menurut NUFAM, MAS sepatutnya bersaing dengan Singapore Airlines, Cathay Pacific, Thai Airways atau Emirate. Bukan AirAsia atau mana-mana syarikat penerbangan tambang rendah.

“Ini adalah perniagaan penerbangan dunia, bukan bisnes rojak atau kedai kopi yang mana boleh dibuka dan ditutup ikut suka. Jadi kita semua perlu berfikiran positif dan datang dengan idea lebih baik daripada mengambil jalan singkat menyelamatkan MAS.

“AirAsia ada jenamanya sendiri dan model perniagaannya berjaya tetapi ia adalah kisah yang berbeza,” jelas NUFAM.

Kesatuan itu menambah, AirAsia perlu mengekalkan perkhidmatan penerbangan tambang rendah untuk pelanggan yang tidak mampu terbang dengan MAS.

Jika AirAsia mengambil alih MAS hari ini, mereka akan mempunyai lebih banyak liabiliti dan harga tiket mereka tidak lagi akan menjadi kos rendah.

AirAsia tidak pernah menjadi syarikat penerbangan perkhidmatan penuh seperti MAS yang menyediakan segala-galanya secara percuma dari makanan hingga kepada selimut.

Jenama AirAsia datang dengan tanda harga untuk pelanggan mereka, apa sahaja yang dituntut oleh penumpang dengan harganya sementara MAS tidak mengenakan caj kepada penumpang mereka.

“Anda tidak boleh membandingkan Durian King dengan manggis, sama sekali tidak sama,” tambahnya.

Susulan itu, NUFAM berpendapat, Tan Sri Tony Fernandes sepatutnya diberi peranan sebagai penasihat untuk menyelamatkan MAS tetapi beliau perlu bebas membuat keputusan untuk mengelak berlaku konflik antara kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan.

“Itu akan menjadi kedudukan terbaik untuk beliau membantu MAS jika beliau menolong syarikat penerbangan negara ini atau melihat apa sebenarnya yang berlaku di sebalik tabir MAS,” kata NUFAM yang yakin masalah MAS kerana ada isu-isu tersembunyi.

NUFAM yang menentang cadangan pengambilalihan MAS oleh AirAsia kerana menyifatkan idea itu tidak akan mengubah keadaan sebaliknya menyebabkan kedua-duanya menjadi entiti bermasalah pada kemudian hari.

MAS juga diminta menghentikan perbelanjaan mewahnya seperti membeli lebih banyak kapal terbang dan menjadi penaja buat masa ini.

“MAS perlu berjimat dan membuat tindakan terbaik dalam keadaan genting sekarang. Masalah birokrasi yang berlaku dalam mengendalikan MAS perlu ditangani.

“Kalau MAS mahu menyuntik wang bagi menyelamatkan MAS, kami cadangkan pembersihan daripada atas perlu dilakukan. MAS boleh berdiri tanpa “Little Napoleans” yang berada di belakang tabir.

“Paling penting kerajaan perlu mengenal pasti siapa individu-individu yang berada di belakang kegagalan MAS,” kata NUFAM. – MalaysiaGazette