Home Ekonomi Bursa ditutup tinggi

Bursa ditutup tinggi

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, sejajar dengan kebanyakan bursa serantau yang mencatatkan kenaikan, di tengah-tengah keadaan penangguhan pengenaan tarif dalam perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Bagaimanapun, pelaksanaan cukai gula yang berkuat kuasa hari ini telah memberi impak negatif ke atas kaunter berkaitan minuman manis, termasuk Nestle, Dutch Lady dan F&N.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 11.49 mata atau 0.69 peratus kepada 1,683.62 iaitu paras tertinggi harian selepas dibuka pada paras terendah harian 1,674.91.

Indeks barometer itu dibuka 2.78 mata lebih tinggi kepada 1,674.91 daripada 1,672.13 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 679 berbanding 214, manakala 351 kaunter tidak berubah, 584 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.31 bilion unit bernilai RM2.18 bilion daripada 2.22 bilion unit bernilai RM1.84 bilion pada Jumaat lepas.

Rakuten Trade Sdn Bhd berkata perang perdagangan antara AS dan China dilihat reda, sekurang-kurangnya buat masa ini.

“Walaupun tiada persefahaman yang kukuh dicapai buat masa ini, ramai pemantau menjangkakan kedua-dua pihak tidak akan lagi mengambil langkah yang tidak munasabah mengenai tarif,” katanya dalam nota penyelidikan.

Di peringkat rantau, Indeks Straits Times Singapura naik 1.52 peratus kepada 3,372.26, Nikkei Jepun menambah 2.13 peratus kepada 21,729.97 dan SSE Shanghai menokok 2.22 peratus kepada 3,044.90.

Sementara itu, peniaga berkata peserta pasaran juga memberi reaksi positif susulan laporan bahawa Rusia dan Arab Saudi bersetuju untuk melanjutkan pengurangan pengeluaran minyak mentah selama enam hingga sembilan bulan lagi selepas 30 Jun.

Berita tersebut telah menyokong kaunter berkaitan minyak dan gas untuk diniagakan secara aktif di bursa tempatan.

Antara saham aktif, KNM dan warannya masing-masing meningkat empat sen kepada 29.5 sen dan 10 sen, Bumi Armada menambah satu sen kepada 22.5 sen, Perdana Petroleum naik tiga sen kepada 37.5 sen dan Dayang Enterprise menokok tujuh sen kepada RM1.25.

Bagi saham berwajaran tinggi, Petronas Chemicals melonjak 34 sen kepada RM8.74, Axiata naik 17 sen kepada RM5.15, RHB menambah 19 sen kepada RM5.78, Tenaga meningkat 12 sen kepada RM13.96 dan Maybank menokok tiga sen kepada RM8.91.

Bagaimanapun, susulan pelaksanaan cukai eksais ke atas minuman manis pada hari ini, Nestle menjadi saham paling rugi di Bursa Malaysia, apabila susut 70 sen kepada RM148.40.

F&N dan Dutch Lady tidak terkecuali, dengan F&N turun 16 sen kepada RM34.40 sementara Dutch Lady kurang 10 sen kepada RM63.90.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan mencadangkan cukai 40 sen seliter dikenakan ke atas minuman ringan yang mengandungi lebih lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi setiap 100 mililiter bermula 1 April, 2019 namun pelaksanaannya ditangguhkan sehingga hari ini.

Minuman jus atau berasaskan sayuran yang mengandungi lebih 12 gram gula bagi setiap 100 mililiter juga dikenakan cukai.

Indeks FBM Emas meningkat 103.58 mata kepada 11,885.16, Indeks FBMT 100 naik 95.92 mata kepada 11,727.57 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 133.13 kepada 12,266.07.

FBM 70 juga melonjak 185.21 mata kepada 14,784.92 dan FBM Ace meningkat 92.38 mata kepada 4,537.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 86.30 mata kepada 16,772.91, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.80 mata kepada 163.52 dan Indeks Perladangan naik 9.38 mata kepada 6,978.28.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 2.59 bilion saham bernilai RM2.02 bilion daripada 1.59 bilion saham bernilai RM1.72 bilion pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 302.71 juta unit bernilai 43.23 juta berbanding 312.28 juta unit bernilai RM68.32 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 416.62 juta saham bernilai RM117.97 juta berbanding 319.60 juta saham bernilai RM57.76 juta pada Jumaat minggu lepas.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 224.18 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (239.54 juta), pembinaan (250.25 juta), teknologi (255.40 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (52.17 juta), hartanah (168.27 juta), perladangan (12.49 juta), REIT (15.02 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (1.23 bilion), penjagaan kesihatan (17.20 juta), telekomunikasi dan media (67.24 juta), pengangkutan dan logistik (25.84 juta) dan utiliti (15.26 juta). – MalaysiaGazette

+ posts