KUALA LUMPUR – Kerajaan sudah menjelaskan sejumlah RM2.62 bilion bagi pembayaran Fasa 1 dan 2 Bantuan Sara Hidup (BSH).
Pembayaran BSH 2019 fasa kedua telah dilaksanakan mulai 28 Mei 2019 berdasarkan kategori BSH 2019, merangkumi bilangan anak/tanggungan dan jumlah nilai BSH 2019 yang akan diterima.
Ia dibuat setelah proses verifikasi dijalankan dan melibatkan 3.6 juta penerima yang diluluskan untuk BSH.
Bayaran fasa kedua ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.42 bilion dan termasuk bayaran untuk tanggungan yang melibatkan 3.2 juta anak penerima BSH berumur 18 tahun ke bawah, terhad kepada 4 orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.
Kementerian Kewangan berkata, bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang benarbenar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 1 Julai 2019 hingga 15 Ogos 2019.
Dengan adanya proses rayuan ini, mereka yang tidak layak masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dengan dokumen berkaitan untuk diverifikasi semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
Permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian di portal BSH https://bsh.hasil.gov.my/ atau dengan hadir ke mana-mana Cawangan / Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM.
Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah dan isu yang timbul sepanjang pelaksanaan BSH.
Kerajaan juga akan sentiasa menambahbaik program BSH bagi memastikan bantuan yang diberikan adalah berkesan dan mencapai kumpulan sasar yang ditetapkan terutamanya golongan B40 dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada: [email protected]. – MalaysiaGazette