Home Seni Hidup Aktres Bollywood berhenti jadi pelakon kerana Allah

Aktres Bollywood berhenti jadi pelakon kerana Allah

Zaira Wasim

KUALA LUMPUR – Aktres terkenal Bollywood, Zaira Wasim mengumumkan menarik diri sebagai anak seni selepas lima tahun bergelar pelakon dalam industri perfileman terbesar dunia itu.

Zaira, 18, menjelaskan, faktor dia mengambil keputusan itu kerana kehidupan sebagai anak wayang telah merosakkan hubungannya dengan Allah yang sekaligus membuatkan hidupnya tidak teratur.

Pelakon flem Dangal itu berkata, sejak menjadi anak seni, kehidupan sebagai seorang Muslim terganggu selain mengakui bukan mudah untuk menyesuaikan diri serta memenuhi keperluan industri perfileman.

“Ia sebuah perjalanan memenatkan, sejak sekian lama jiwa saya sentiasa berkecamuk, hidup ini singkat. Oleh itu, hari ini saya mengambil keputusan secara rasmi untuk bersara dalam arena perfileman.

“Semoga Allah mengurniakan kita hidayah serta petunjuk untuk meredakan setiap keraguan dan kesilapan yang dilakukan selama ini. Diharapkan kita saling membantu antara satu sama lain untuk menjadi Muslim sejati. Semoga Allah membersihkan hati kita daripada sifat munafi dan sombong,” katanya di laman Facebook miliknya kelmarin,

Zaira mencipta nama dalam filem Dangal yang dibintangi hero popular Bollywood, Aamir Khan yang mengisarkan kisah seorang ahli gusti amatur India yang bercita-cita melihat anak perempuannya menjadi juara gusti.

Menerusi Dangal, Zaira merangkul Anugerah Pencapaian Luar Biasa bagi Kategori Pelakon Kanak-Kanak selain filem itu mencatat rekod kutipan tertinggi pada 2016.

Zaira juga baru selesai menamatkan pengambaran filem terbarunya The Sky Is Pink yang turut menampilkan pelakon Priyanka Chopra.

Pengumuman persaraan Zaira turut menarik perhatian ulama terkenal dari Zimbabwe, Mufti Ismail Menk dan bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Omar Abdullah.

Mufti Menk dan Omar antara yang menyokong keputusan Zaira. – MalaysiaGazette