KUALA LUMPUR – Yeo Bee Yin akan mengambil tindakan kepada pihak bertanggungjawab menyebarkan fitnah melibatkannya dalam isu pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor.
Menteri Tenaga, Sains dan Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Cuaca itu membidas tindakan pihak melalui media sosial Facebook menggunakan akaun bernama UMNO Johor Official berkongsi gambarnya bersama suaminya dengan mengaitkan dengan pemilikan tiga kilang kimia di Pasir Gudang.
Foto tularĀ itu juga seolah mendakwa menteri berkenaan lambat bertindak dalam soal pencemaran Pasir Gudang disebabkan tiga kilang kimia berkenaan dikaitkan dengan suaminya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group, Lee Yeo Seng.
Ia berbunyi;” Betulke ini YB Yeo Bee Yin…patutlah lambat bertindak.
“Suami Yeo Bee Yin ada tiga kilang kimia di Pasir Gudang..kenapa kerajaan lambat bertindak?” tulis dalam postr yang tular.
Ia juga memaparkan nama tiga kilang itu iaitu:IOI Pan Century Oleochemical, IOI Lipid Enzymetec dan IOI Pan Cenruty Edible Oil.
Bee Yin dalam kenyataan sebagai menyangkal fitnah itu dan berkata tindakan tidak bermaruah itu bukan sahaja terhadap dirinya dan suami.
Ia juga satu penghinaan kepada beratus-ratus pegawai kerajaan dari semua agensi yang terlibat dalam menangani gejala kesihatan di Pasir Gudang baru baru ini.
“Mereka bertungkus lumus bekerja siang dan malam tanpa mengenal erti penat lelah untuk memberi bantuan kesihatan, mengambil bacaan parameter, menganalisis data demi kesejahteraan penduduk Pasir Gudang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Bee Yin, tindakan mereka mempolitikkan gejala kesihatan ini adalah sesuatu yang jijik dan keji kerana tidak mengambil kira perasaan dan trauma yang dialami oleh ibu-bapa dan kanak-kanak yang mengalami kesan dari situasi berkenaan.
“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap semua yang menyebarkan fitnah dan menyalahgunakan kebebasan bersuara,” tegasnya.- MalaysiaGazette