KUALA LUMPUR – Dakwaan Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) bahawa antara 10 hingga 50 peratus pemandu e-hailing lulus ujian Lesen Kenderaan Vokasional (PSV) adalah tidak tepat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, seramai 16,338 pemandu e-hailing menduduki ujian teori lesen PSV antara 1 April hingga 30 Jun lalu.
“Daripada jumlah itu, 10, 151 calon yang menduduki peperiksaan telah lulus dan layak mendapat lesen PSV.
“Dengan ini dapat dirumuskan bahawa 62 peratus lulus ujian PSV dan berjaya dilesenkan maka dengan itu kenyataan persatuan Grab pada 14 Mei lalu kononnya hanya 10 hingga 50 peratus lulus dalam setiap kelas seperti dilaporkan Berita Harian adalah tidak tepat sama sekali,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Terap (BN), Datuk Seri Mahdzir Khalid yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan langkah diambil kerajaan berikutan kenyataan persatuan pemandu Grab yang mendakwa hanya 10 hinggga 50 peratus pemandu e-hailing sahaja yang lulus ujian teori PSV.
Presidennya, Arif Asyraf Ali juga mendakwa, terdapat kes di Pulau Pinang yang mencatatkan hanya tujuh pemandu lulus ujian PSV daripada 40 orang yang menduduki peperiksaan berkenaan.
Anthony berkata, bilangan calon yang lulus ujian itu dijangka meningkat mendadak menjelang 12 Julai ini berikutan pengenalan kursus secara digital yang telah dijalankan pada 13 Jun di pusat pusat latihan terpilih.
Justeru katanya, kementerian juga membenarkan pengendali e-Hailing (EHO) mengendalikan ujian PSV secara berkelompok dan berkumpulan dengan kehadiran pegawai-pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Maka setiap hari ramai pemandu e-hailing menduduki ujian ini dan ramai akan dapat dilesenkan lesen PSV menjelang 12 Julai ini.
Mahdzir Khalid juga meminta Anthony menyatakan kos yang diperlukan pemandu e-hailing untuk mendapatkan lesen PSV dan perlindungan insurans kenderaan, Anthony memberitahu, kadar siling kurus PSV adalah yang dikenakan institut memandu adalah RM200 manakala ujian digital kendalian EHO untuk pemandu mereka adalah percuma.
“Namun kos ambil kursus RM200 sahaja manakala lesen PSV RM20 tetapi untuk insurans kereta mereka mungkin dalam lingkungan RM300 hingga RM400 seorang.
“Maka anggaran kita seorang pemandu E-Hailing untuk mengambil lesen PSV dan menginsuranskan kenderaan adalah dalam lingkungan RM800,” katanya. – MalaysiaGazette