Home Nasional Dakwaan serbu ala gangster libat premis tak isytihar cukai

Dakwaan serbu ala gangster libat premis tak isytihar cukai

resignation IRB CEO Najib Razak Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah
Datuk Seri Sabin Samitah

PUTRAJAYA – Hasil siasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati pembayar cukai yang mendakwa premis dan syarikat miliknya diserbu LHDN ala ‘gangster’ pada tahun lepas kerana mereka gagal mengisytiharkan pendapatan daripada perniagaan yang melibatkan sejumlah pelarian cukai yang besar.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah berkata, LHDN bagaimanapun tertakluk kepada kerahsiaan di bawah Seksyen 138, Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan bahawa maklumat terperinci berhubung siasatan itu tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini susulan dakwaan sebuah kolej bahawa LHDN membuat serbuan ala ‘gangster’ seperti disiarkan Malaysiakini semalam, Sabin berkata, LHDN membuat lawatan mengejut ke atas premis pembayar cukai pada Mac 2018.

Menurutnya, tindakan siasatan diambil setelah memberi pertimbangan kepada semua maklumat dan bukti risikan yang diperoleh dan dianalisis berkaitan dengan pembayar cukai tersebut dan proses kerja berhubung tindakan siasatan itu digariskan dalam Rangka Kerja Siasatan Cukai.

“Operasi siasatan ini telah dilaksanakan secara profesional selaras dengan rangka kerja siasatan dan peruntukan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

LHDN sedang mempertimbang dan mengkaji secara serius dakwaan yang dibuat serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba untuk mencemar imej dan nama baik agensi berkenaan dengan membuat dakwaan tidak benar, ujarnya.

Justeru, Sabin memaklumkan siasatan melalui kaedah lawatan mengejut telah dihentikan serta-merta mulai Mei 2018, iaitu selepas kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negara.-MalaysiaGazette