Home Nasional Golongan B40, asnaf akan diberi bantuan kewangan mikrokredit

Golongan B40, asnaf akan diberi bantuan kewangan mikrokredit

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh (tengah) beramah mesra dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Jamuan Mesra Raya Meraikan Warga Istimewa dan Rakan Media di Ali Grand Hall Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan sedang berbincang untuk menyediakan bantuan kewangan secara mikrokredit kepada golongan berpendapatan rendah B40 dan asnaf sebagai langkah prihatin membela nasib mereka.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata, perbincangan tersebut dilakukan oleh unit sosioekonomi kementerian itu dan cadangan pemberian tersebut akan dilaksanakan menerusi Yayasan Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, bukan sahaja bantuan kewangan malah, pemohon dalam golongan berkenan turut diberikan latihan sekiranya mereka mahu berkecimpung dalam bidang perniagaan.

“Kita sekarang ini sedang berbincang dan memberikan cadangan supaya Yayasan Wilayah dapat mengadakan skim mikrokredit untuk membantu usahawan-usahawan yang hendak memulakan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jamuan Mesra Hari Raya meraikan warga istimewa dan media di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Bagaimanapun, Shahruddin berkata, jumlah penerima yang layak untuk diambil menyertai skim berkenaan masih belum diketahui dan jumlah bantuan kewangan yang akan diberikan juga belum ditentukan. – MalaysiaGazette