KUALA LUMPUR – Presiden MCA kecewa dengan jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berhubung isu pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Hanipa seolah-olah cuba mengatakan beliau obses dengan janji manifesto Pakatan Harapan apabila membangkitkan tentang Janji 14 dalam Buku Harapan.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, ini bukan soal beliau berminat dengan Buku Harapan atau tidak.
“Sebagai pembangkang, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memantau pentadbiran kerajaan. Inilah yang dikatakan proses menyemak imbang kerajaan yang memerintah.
“Hanipa menyentuh tentang Seksyen 5 Akta SPRM 2009 yang mengatakan pelantikan Ketua Pesuruhjaya adalah atas nasihat Perdana Menteri kepada YDP Agong. Jika sudah menyedari kekangan ini, kenapa ia dijadikan sebagai satu janji kepada rakyat?
“Hanipa menyebut bahawa kerajaan yakin dengan segala tindakan dan keputusan yang dibuat KP SPRM adalah berdasarkan kepada merit, bukan atas arahan mana-mana pihak.
“Kenyataan ini amatlah lemah dan tanpa perincian kukuh. Malah soalan saya sama ada proses ratifikasi akan dilakukan dengan meminta PSC mengesahkan pelantikan Latheefa juga tidak dijawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Kesimpulannya, kesemua lima soalan yang diajukan semalam tidak dijawab oleh Hanipa yang mewakili kerajaan PH.
Semalam Ka Siong bertanya mengapa kerajaan Pakatan Harapan melanggar Janji 14 dalam manifesto.
Janji 14 itu melibatkan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang telah ditubuhkan.
Ka Siong berkata, JKKMAR memutuskan mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM mestilah melalui Jawatankuasa Pilihan Parlimen supaya ia lebih telus.
Namun pelantikan Latheefa dibuat oleh Perdana Menteri tanpa melalui Kabinet mahupun Jawatankuasa Khas Parlimen.
Menjawab soalan itu, Hanipa berkata, pelantikan Latheefa adalah selaras dengan Seksyen 5 Akta SPRM 2009 yang menyatakan secara jelas bahawa Yang di-Pertuan AGong hendaklah melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM di atas nasihat Perdana Menteri.
Kata Timbalan Menteri itu, di bawah peruntukan tersebut tidak ada menyatakan Perdana Menteri mesti merujuk pelantikan tersebut kepada Jawatankua Pilihan Kuasa Parlimen (PSC) mengenai lantikan jawatan utama perkhidmatan awam atau kepada Kabinet untuk kelulusan.
Menurut Hanipa lagi, tiada klausa menyatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM haruslah dilantik dalam kalangan penjawat awam. – MalaysiaGazette