Home Nasional Kerajaan perlu serius laksana Janji 38 – JAKOA

Kerajaan perlu serius laksana Janji 38 – JAKOA

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mahu kerajaan serius menunaikan Janji 38 Manifesto Pakatan Harapan dengan mengambil langkah drastik dalam merealisasikan pembangunan masyarakat itu.

Ketua Pengarahnya, Prof Dr Juli Edo berkata, sehingga pertengahan RMK-11, beberapa isu berkenaan pembangunan masyarakat Orang Asli masih tidak dapat diselesaikan.

Menurut beliau, masyarakat Orang Asli kini berada di dalam kancah kemiskinan apabila statistik menunjukkan sekitar 99 peratus masyarakat Orang Asli tergolong dalam kumpulan B40 dan kebanyakannya berada dalam kelompok miskin tegar.

“Dalam menangani isu pembangunan Orang Asli, JAKOA menaruh harapan yang tinggi agar kerajaan serius untuk menunaikan Janji 38 dalam Manifesto Pakatan Harapan.

“Semoga pihak kerajaan dapat mengambil langkah yang lebih drastik, konstruktif dan bersandarkan participatory development dalam merealisasikan pembangunan masyarakat Orang Asli,” ujar beliau.

Di bawah Janji 38, Pakatan Harapan mahu mengiktiraf dan mengangkat martabat serta membela hak komuniti Orang Asal dengan merombak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) agar Orang Asal diberi keupayaan untuk memperbaiki kehidupan mereka dan bukannya dikuasai dan dikawal oleh jabatan tersebut.

Tanah adat adalah satu perkara penting bagi masyarakat Orang Asal, justeru Kerajaan Pakatan Harapan akan berusaha untuk melaksanakan cadangan-cadangan daripada Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Adat Orang Asal / Asli yang disediakan oleh Suhakam pada tahun 2013.

Malah, janji manifesto itu akan menjamin bahawa Orang Asal mendapat pembelaan yang lebih baik dalam skim pembangunan tanah seperti Felcra dan Risda, selain perjanjian yang tidak adil kepada Orang Asal akan dirombak semula.

Untuk membolehkan tanah adat Orang Asal diiktiraf dengan sewajarnya, Kerajaan Pakatan Harapan akan memperuntukkan dana untuk melaksanakan kajian lengkap yang boleh mengenalpasti sempadan tanah adat dengan tepat.

Lebih banyak sumber akan diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur perkampungan Orang Asal, termasuk jalan berturap, grid elektrik 24 jam, bekalan air yang dirawat dan rangkaian komunikasi yang stabil, supaya tiada komuniti Orang Asal yang terpinggir.

Sekolah-sekolah di perkampungan Orang Asal akan diperbesarkan dan diberi sumber-sumber secukupnya untuk memastikan anak-anak Orang Asal mendapat pendidikan berkualiti. Ini termasuklah kurikulum yang sesuai dengan suasana sosiobudaya Orang Asal. – MalaysiaGazette