KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa syor-syor yang dicadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urusniaga mata wang asing (forex) melibatkan Bank Negara pada tahun 90an.
Pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, tidak ada maknanya siasatan dan penubuhan RCI sekiranya hasil inkuiri yang disyorkan tidak diambil peduli kerajaan.
Ditanya sama ada keputusan kerajaan semalam menerusi jawapan di Parlimen yang memutuskan kes siasatan Forex sebagai NFA atau Tiada tindakan lanjut katanya, beliau tidak tahu namun memandang serius kes berkenaan.
“Ini kes sangat serius sebab kerajaan kita kerugian lebih RM30 bilion disebabkan urusniaga mata wang ini.
“Kita khususnya BNM tidak sepatutnya terlibat dalam urusniaga pelaburan mata wang ini sejak awal lagi yang memaksa menanggung akibatnya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen petang tadi.
Disoal sama ada beliau bersetuju dengan keputusan yang dicapai kerajaan dalam kes berkenaan, Ahli Parlimen BN Gua Musang itu yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, soalnya bukan setuju atau tidak setuju.
“Saya tak kata setuju atau tidak kerana saya tidak ada di Dewan Rakyat semalam mendengar jawapan itu jadi adalah tidak adil komen pada peringkat ini.
“Kedua saya tak rasa perkara yang disiasat RCI melibatkan kerajaan perlu disusuli tindakan atau sebaliknya sebab jikalau hasil inkuiri dan RCI mengesyorkan beberapa tindakan yang harus diambil, maka ia harus dilaksanakan segera.
“Jika tidak apa gunanya ada RCI dan inkuiri berkenaan,” soalnya.
Malah tambah beliau yang ditanya tentangf tindakan sepatutnya diambil kerajaan, Tengku Razaleigh berkata, kerajaan harus menerima syor RCI dan ambil serius serta melaksanakan segera.
Beliau juga diminta menjelaskan pandangan sama ada wujud ‘political coverup’ dalam hal berkenaan.
“Saya tidak tahu sama ada wujud unsur political cover up atau pun tidak.
“Apa yang saya cuba katakan di sini adalah apa jua cadangan yang diperkenalkan RCI perlu dilaksanakan, itu sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette