KUALA LUMPUR – Masa depan Malaysia Airlines (MAS) adalah di tangan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sepenuhnya dan bukannya Kementerian Pengangkutan (MOT).
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana MAS terletak di bawah Khazanah melibatkan sebarang perancangan masa depan syarikat penerbangan nasional itu.
“Keputusan AirAsia, MAS adalah keputusan komersial yang akan ditentukan syarikat.
“Ramai beranggapan MAS bawah Kementerian Pengangkutan, tetapi MAS adalah syarikat bawah Khazanah.
“Pengerusi Khazanah adalah PM (Tun Dr. Mahathir Mohamad) maka masa depan MAS di bawah Khazanah,” katanya secara ringkas ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.
Baru-baru ini wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin berkata, syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd (AirAsia) dilihat sebagai pengendali penerbangan berjaya yang mampu menyelamatkan penerbangan nasional, MAS daripada ‘berkubur.’
Katanya, AirAsia juga telah memiliki satu elemen menyamai MAS iaitu cabang penerbangan jarak jauh, AirAsia X Bhd.
“Mereka ada pengalaman itu kerana memiliki AirAsia X yang melakukan penerbangan jauh sehingga ke Jeddah serta destinasi lain seperti Jepun, Korea Selatan dan China.
“Sudah pasti, struktur harga (tambang) mereka berbeza. Atas dasar itu, mereka memang berpengalaman namun sama ada boleh mengambilalih MAS dan dijadikan sebahagian AirAsia atau mengekalkan MAS sebagai syarikat penerbangan tambang penuh, merupakan keputusan untuk ditentukan oleh mana-mana pihak yang berminat dengan MAS,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. – MalaysiaGazette