Home Politik Zahid kembali, UMNO jangan berpecah

Zahid kembali, UMNO jangan berpecah

Dr Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Pengumuman Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kembali menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO selepas bercuti selama enam bulan tidak seharusnya menimbulkan sentimen perpecahan dalam UMNO.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, apa yang penting ketika ini, kematangan kepimpinan UMNO yang perlu menjadi fokus utama parti dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Tegas beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, usaha pengukuhan parti yang dilakukan selama ini akan menjadi sia-sia jika UMNO hilang fokus dengan mementingkan siapa yang layak menerajui parti orang Melayu itu.

“Gandingan Presiden UMNO dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan adalah satu kelebihan kepada UMNO dari peringkat kepimpinan hingga ke akar umbi kerana kedua-duanya adalah tokoh politik yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat yang kini semakin sengsara.

“Ahli UMNO perlu berfikiran positif, bersifat matang dan sentiasa fokus kepada usaha pengukuhan parti serta penyatuan ummah di antara UMNO-Pas kerana ianya adalah satu-satunya ideologi untuk membela Melayu Islam di Malaysia.

“UMNO adalah parti yang berteraskan kesejahteraan rakyat dan matlamat ini perlu menjadi hala tuju UMNO dalam mendepani kepincangan rejim Pakatan Harapan (PH). Oleh itu, ahli UMNO haruslah tidak bertelagah sesama sendiri dan sebaliknya fokus kepada kecelaruan serta kesilapan rejim PH yang semakin mencengkam rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najmil Faiz menambah, harapan rakyat supaya UMNO menjadi peneraju kerajaan pada PRU akan datang haruslah tidak dihampakan dengan bertelagah semasa sendiri.

Menurut beliau, UMNO adalah keluarga yang besar dan mendukung ideologi membela nasib rakyat sejak awal kemerdekaan lagi.

Ujarnya, tidak wujud sebarang pertelingkahan dalam keluarga besar UMNO ini dan matlamat utama adalah untuk memperjuangkan nasib rakyat dari dulu hingga ke hari ini.

“Kini, ahli UMNO dari peringkat kepimpinan hingga ke akar umbi perlu meneruskan khidmat bakti seperti yang dilakukan selama ini dengan menyantuni rakyat serta menyelami suara hati rakyat yang semakin risau kerana kepincangan rejim PH.

“Pimpinan kerajaan PH yang tidak terlepas daripada kontroversi, ketidakcekapan tadbir urus dan pelbagai lagi isu politik dalaman telah menguatkan lagi usaha pengukuhan parti UMNO.

“UMNO kini telah menjadi pembangkang yang progresif dengan memperjuangkan nasib rakyat yang semakin dipinggirkan oleh kerajaan PH dan momentum UMNO semakin kukuh saban hari,” katanya lagi. – MalaysiaGazette