Home Ekonomi RMK12 mula sesi jelajah kerajaan negeri esok

RMK12 mula sesi jelajah kerajaan negeri esok

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Radzi Jidin

KUALA LUMPUR- Sesi libat urus penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) akan diteruskan dengan jelajah ke semua kerajaan negeri bermula esok.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Persidangan Pelancaran Penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang merupakan sesi libat urus pertama telah berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Ia diadakan bagi mendapatkan input, maklum balas dan perkongsian pandangan dalam usaha mengenal pasti isu-isu terkini serta trend semasa global yang perlu diambil kira dan diperincikan dalam penyediaan pelan pembangunan lima tahun itu.

Persidangan yang melibatkan kira-kira 500 peserta itu berlangsung selama empat hari bermula 1 Julai lalu disertai oleh pelbagai pakar dan pihak berkepentingan telah ditutup secara rasmi oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Radzi Jidin hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Makro), Zakiah Jaafar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Dr. Noor Zari Hamat, Wakil Penyelaras Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia, Singapura dan Brunei, Mr. Stefan Priesner dan Pengarah Bank Dunia untuk Malaysia, Dr. Firas Raad.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, hasil persidangan akan digunakan dalam perbincangan oleh 13 Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG) dan 47 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) yang telah diwujudkan untuk menyediakan 30 kertas strategi bagi RMK-12.

Penyertaan semua pihak berkepentingan katanya, adalah penting untuk memastikan dasar yang dirangka adalah inklusif dan holistik.

“Gagasan Kemakmuran Bersama (Shared Prosperity Initiative) merupakan teras kepada RMK-12 yang merangkumi tiga dimensi iaitu pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar dan perekayasaan sosial.

“Sebanyak 11 topik telah dikupas dan dibentangkan sepanjang persidangan oleh pakar-pakar dari dalam negara dan agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Bank Dunia dan Asian Development Bank,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

RMK-12 juga katanya, akan mendukung tujuh teras strategik yang telah digariskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam konsep Kemakmuran Bersama dengan memberi tumpuan kepada beberapa pemboleh, antaranya  dasar fiskal yang lebih kukuh, tahap tadbir urus dan integriti yang tinggi serta sokongan modal kewangan yang kompetitif.

Beberapa bidang dan fokus juga akan ditambah baik seperti penyampaian perkhidmatan awam, kestabilan kewangan, data raya yang komprehensif serta masyarakat yang berpengetahuan. -MalaysiaGazette