Home Nasional Jangan hanya sekadar buat ‘meeting’ demi ‘meeting’ – Aminuddin

Jangan hanya sekadar buat ‘meeting’ demi ‘meeting’ – Aminuddin

Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mempersoalkan tindakan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin yang masih tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan operasi kilang-kilang di Pasir Gudang, Johor.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, enam langkah mengawal udara yang dikemukakan Bee Yin itu tidak membantu untuk memulihkan keadaan di Pasir Gudang yang masih tidak stabil.

“Kesemua enam langkah tersebut lebih ke arah pengawalan sahaja, dan bukannya pencegahan. Saya tidak dengar pun apa-apa arahan untuk menghentikan operasi kilang-kilang terlibat secara sementara kecuali kilang haram (yang akan diarah tutup) untuk masa sekarang.

“Memandangkan keadaan di Pasir Gudang sekarang masih berada dalam keadaan tidak stabil, kenapa Menteri tidak arahkan kilang-kilang yang terlibat untuk berhenti operasinya secara sementara, mungkin sebulan dua?

“Bagi keadaan menjadi stabil dan terkawal dahulu, barulah boleh dibenarkan kilang-kilang tersebut untuk beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas jawapan Bee Yin di Parlimen semalam bahawa pihaknya akan memperkasa pemantauan kualiti udara di Pasir Gudang dengan mewujudkan Stesen Pengawasan Gas Pencemar Toksik Otomatik (real time gas detector) melalui pembangunan stesen pengawasan udara.

Selain itu kerajaan akan membuat pembelian alat pengukuran gas toksik bergerak seperti Gasmet untuk tujuan penguatkuasaan dan pemantauan, serta membangunkan sistem bagi menganalisis dan menentukan ‘carrying capacity’ udara di kawasan perindustrian Pasir Gudang.

Pada 20 Jun lalu sehingga hari ini, sebanyak 172 premis industri telah diperiksa, yang mana 98 kompaun telah dikeluarkan, 46 notis arahan dan 9 premis telah ditahan operasi.

Aminuddin berkata, sehingga kini penduduk terbabit masih trauma dan rasa tidak selamat apatah lagi apabila kilang-kilang masih dibenarkan beroperasi hingga kini.

“Kerajaan perlu bertindak dengan lebih tegas dan dengan segera. Jangan hanya sekadar membuat ‘meeting’ demi ‘meeting’.

“Kerajaan harus mengemukakan penyelesaian bersifat jangka panjang walhal apa terjadi pada jangka pendek ini rakyat yang menanggungnya.

“Harap menteri lebih prihatin dan merasai keperluan dan denyut nadi rakyat. Jangan sebabkan takut syarikat-syarikat menanggung kerugian sehingga menggadaikan nyawa rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette