Home Ekonomi AirAsia sambung semula penerbangan Melaka-Pulau Pinang

AirAsia sambung semula penerbangan Melaka-Pulau Pinang

MELAKA – AirAsia menyambung semula penerbangan bagi sektor Melaka-Pulau Pinang-Melaka hari ini selepas tertangguh selama dua hari berikutan masalah sistem navigasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam, di sini.

Penerbangan AK6284 dengan 158 penumpang berlepas dari LTAM ke Pulau Pinang pada jam 2.50 petang manakala penerbangan sama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang selamat mendarat di LTAM, 20 minit sebelum itu.

Exco Pengangkutan, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengeluarkan kebenaran untuk menggunakan prosedur penerbangan setelah memastikan operasi peralatan yang rosak telah berjaya dipulihkan.

Beliau berkata, pihak CAAM telah mengambil langkah proaktif mengurus dan memastikan sistem itu berjalan baik dengan melakukan penyiasatan serta pemeriksaan untuk mengenal pasti punca masalah tersebut untuk menanganinya.

“Pihak berwajib serta syarikat penerbangan terbabit telah mengambil langkah penyelesaian sementara dan berjaya memulihkan operasi sistem tersebut,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di LTAM, hari ini.

Mohd Sofi berkata, kerajaan negeri juga berharap pihak berwajib dapat mencari penyelesaian sepenuhnya berkaitan masalah teknikal yang berlaku supaya ia tidak berulang pada masa hadapan.

Katanya, prosedur dan amalan penyelenggaraan mesti disemak semula selain penambahbaikan perlu dilakukan kerana ia sangat penting bagi memastikan segala kelengkapan berkaitan sedia digunakan pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette