Home Utama Demi martabat politik Melayu, Dr Mahathir pula diajak sertai UMNO, Pas

Demi martabat politik Melayu, Dr Mahathir pula diajak sertai UMNO, Pas

Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Menyahut seruan agar orang Melayu bersatu, ahli jawatankuasa Pas hari ini menyeru Tun Dr Mahathir Mohamad dan semua orang Melayu untuk bersama-sama Pas dan UMNO demi agenda perpaduan ummah.

Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, PAS dan UMNO sudah memulakan agenda perpaduan ummah yang lebih besar matlamatnya dari hanya mahu menyelamatkan kroni dan legasi.

Muafakat perpaduan ummah yang sedang diusahakan bukan ideologi ataupun agenda sempit politik perkauman yang seperti dihebohkan.

Sebaliknya, ia mengangkat martabat dan politik orang Melayu di tempat yang sepatutnya sesuai dengan apa yang termaktub dalam perlembagaan tanpa meminggirkan mana-mana kaum mahupun agama, memelihara kesucian agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan juga kedaulatan Raja-Raja Melayu yang menjadi lambang dan tonggak negara.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Tun Dr. Mahathir bahawa adalah benar orang Melayu sudah berpecah dan berkecamuk. Perpecahan tersebut bertambah buruk dengan wujudnya satu lagi parti politik orang Melayu dengan menjadikan terlalu banyak parti politik untuk orang Melayu lalu orang Melayu berpolitik tidak tentu arah hingga menjadi hanyir.

“Dengan terlalu banyak parti politik untuk orang Melayu, fokus dan agenda untuk orang Melayu sudah berkecamuk dan hanya untuk kepentingan segelintir pihak yang berkepentingan sahaja.

“Saya turut bersetuju dengan Tun Dr. Mahathir jika orang Melayu kuat dan bersatu padu, nescaya segala perancangan, agenda dan fokus untuk orang Melayu terutamanya untuk sektor ekonomi, pembangunan modal insan dan meningkatkan taraf hidup orang Melayu dapat dicapai dengan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Namun, tambahnya, ramai yang tidak menjangkakan orang Melayu berada dalam keadaan begitu lemah seperti sekarang terutamanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Jelasnya, bukan kerana UMNO dan BN tumbang sebagai Kerajaan Persekutuan tetapi kerana orang Melayu merasa cukup terkesan betapa kurangnya jumlah kerusi Parlimen mahupun Dewan Undang Negeri yang dikuasai orang Melayu yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan polar kuasa pemerintahan dalam negara walaupun orang Melayu adalah majoriti dan dominan di dalam negara.

Tetapi beliau tidak bersetuju dengan saranan Dr. Mahathir agar kesemua orang Melayu bersatu di bawah satu parti iaitu PPBM.

“Saya merasakan saranan tersebut sudah agak lapuk dan ketinggalan arus perdana. Saya sarankan agar Tun Dr. Mahathir dan PPBM untuk bersama dengan PAS dan UMNO dalam agenda muafakat perpaduan ummah yang sedang diusahakan masa kini,” katanya.

Setelah hampir 62 tahun kita merdeka, orang Melayu masih lagi ketinggalan dalam pelbagai sudut samada ekonomi, pendidikan mahupun pembangunan modal insan.

Apa yang diusahakan dalam muafakat perpaduan ummah bukan hanya sekadar untuk mengangkat kembali martabat dan kuasa politik orang Melayu, tetapi adalah untuk meletakkan kembali agenda dan fokus untuk orang Melayu di tempat yang betul dan sepatutnya agar orang Melayu maju, berkaliber dan mampu berdaya saing samada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

“Oleh itu saya menyeru Tun Dr. Mahathir dan semua orang Melayu agar bersama-sama PAS dan UMNO dalam agenda perpaduan ummah. Cukup-cukuplah dengan apa yang telah berlaku, ianya jelas tidak menguntungkan sesiapa. Umpama pepatah Melayu “ Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Gunanya .

“Jangan jadikan diri kita sendiri “ Petualang “ yang menghancurkan masa depan dan kesinambungan politik orang Melayu,” ujar beliau. – MalaysiaGazette