KUALA LUMPUR – Suasana politik dalam negara dijangka menjadi tidak menentu sekiranya generasi muda dalam lingkungan umur 18 dibenarkan mengundi, seterusnya dapat bertanding dalam pilihan raya.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan anak muda antara 18 hingga 21 sebagai golongan sukar diramalkan.
Tambah beliau, kebimbangan itu perlu dipertimbangkan dalam melaksanakan had umur di bawah ketetapan membolehkan golongan itu mengundi.
“Dan kedua, mereka antara 18 hingga 21 ini agak sukar nak kita ramalkan, jadi politik di Malaysia akan jadi lebih volatile (tak menentu) akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui semalam.
Meskipun bersetuju dengan cadangan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membawa usul persendirian bagi membolehkan anak muda berusia 18 tahun bukan saja layak mengundi, tetapi layak untuk menjadi calon dan bertanding dalam pilihan raya namun, menurut Ahli Parlimen Pekan itu kebimbangannya ini perlu dipertimbang.
“Kita juga ada dua kekhuatiran satu, sekolah-sekolah jangan jadi medan pertarungan parti politik, universiti tak apa, sekolah tak wajar.
“Pada prinsipnya kita sokong sebab ini universal trend namun kita minta ia jadi automatic voter registration bukan secara sukarela,” ujarnya.
Pada 4 Julai yang lalu, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang mencadangkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun dibentang untuk bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat.
RUU bagi meminda Perkara 119 (1) (a) perlembagaan berkenaan dibentang Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman iaitu
Ia bagi membolehkan lebih ramai warga negara Malaysia layak mengundi dan memilih kerajaan melalui pilihan raya selaras sistem demokrasi yang progresif.-MalaysiaGazette