KUALA LUMPUR – Cadangan Kementerian Kewangan untuk mengambil alih empat lebuh raya terus mendapat perhatian Datuk Seri Najib Razak.
Dalam posting terbaharu melalui akaun Facebooknya, Najib berkata, ramai pakar berpendapat langkah Lim Guan Eng untuk beli empat lebuh raya dari Gamuda Berhad dengan harga RM6.2 bilion tidak menguntungkan rakyat, tetapi akan meningkatkan hutang negara.
Alasannya, jumlah trafik untuk semua lebuh raya ini sedang menurun setiap tahun sejak tahun 2015 akibat projek-projek infra rakyat kerajaan Barisan Nasional seperti Projek Penyambungan Jajaran LRT1 serta LRT2, MRT1 dan pemansuhan tol Lebuhraya Persekutuan.
Contohnya,Trafik LDP jatuh 1.9% pada tahun 2016 dan 2.9% pada tahun 2017, Penchala Link (2018: -11.7%, 2017: -4.1%, 2016: -12.8%) manakala Kerinchi Link (2018:- 2.6%, 2017: -6.2%, 2016:-10.%).
Jumlah pengguna lebuh raya Kesas jatuh 5 peratus pada tahun 2018 dan trafik terowong SMART susut 30 peratus sejak tahun 2015
Menurutnya, jumlah pengguna lebuh raya dijangka terus jatuh lagi setelah projek MRT2 dan LRT3 siap tak lama lagi.
“Akibatnya, hanya lebuh raya LDP menjana keuntungan manakala lebuhraya Kesas, Sprint dan SMART mencatat kerugian setiap tahun.
“Syarikat Tujuan Khas (SPV) kerajaan Pakatan Harapan yang ditubuhkan untuk meminjam RM6.2 bilion dan mengambil alih empat lebuh raya itu dijangka mencatat kerugian RM70 juta setiap tahun setelah membayar faedah 4 peratus atas pinjaman RM6.2 bilion. Itu faedah sahaja. Belum masuk prinsipal pinjaman,” katanya.
Ini bermakna SPV ini tidak akan dapat membayar balik RM6.2 bilion yang dipinjam pada masa tempoh konsesi semua lebuh raya itu tamat, bermakna hutang negara akan bertambah RM6.2 bilion lagi.
Tambahnya, pakar percaya bahawa kerajaan terlebih bayar RM2.82 bilion dan ini digelar mereka sebagai durian runtuh untuk Gamuda dan pemegang saham lebuh raya-lebuh raya itu.
Malah, angka penjimatan sebanyak RM5.3 bilion yang dikemukakan oleh Guan Eng sebagai penjimatan kerana kerajaan tak perlu bayar pampasan itu juga tidak tepat.
Sebabnya, jumlah penjimatan hanya RM2.8 bilion tapi hutang kerajaan melonjak kepada RM6.2 bilion.
Malah, Najib mendakwa, pakar juga percaya hasil dari durian runtuh ini akan disalurkan oleh syarikat Gamuda untuk projek Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.
“Kesimpulannya ialah kerajaan rugi dan hutang negara bertambah, syarikat swasta dapat durian runtuh dan rakyat yang tanggung kerana terus membayar bayar tol selepas tempoh konsesi tol tamat,” ujarnya. – MalaysiaGazette