Home Utama UMNO, Pas sudah cukup membentuk kekuatan politik Melayu – Tok Mad

UMNO, Pas sudah cukup membentuk kekuatan politik Melayu – Tok Mad

Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – UMNO dan ahli-ahlinya tidak akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk selamanya kerana UMNO adalah parti politik terbesar bangsa Melayu.

Ia telah wujud selama tujuh dekad dan menjadi jurucakap sebenar bangsa Melayu.

Malah, parti Bersatu itu lahir dari rahim UMNO, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“UMNO mesti meneruskan islahnya dan mengukuhkan kerjasama politik dengan Pas. Ia adalah langkah paling strategik untuk UMNO. Kerana ia diasaskan bukan untuk kepentingan politik semata. Ia adalah wadah kesatuan ummah demi kelangsungan dan kebolehsaingan bangsa Melayu dan kemakmuran Malaysia yang majmuk.

“UMNO dan Pas akan membentuk kekuatan politik Melayu yang tidak pernah terjelma sebelum ini. Ia akan menjadi tsunami yang bukan sahaja akan menelan Bersatu, tetapi juga Pakatan Harapan,” tegas Mohamad.

Dakwa Mohamad, perpecahan dan kesusutan pengaruh politik bangsa Melayu bermula sejak Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Bersatu.

Lebih memeritkan bila Bersatu menjalinkan kerjasama politik dengan DAP untuk menewaskan UMNO

Setelah PH membentuk kerajaan, orang Melayu menyedari bahawa Bersatu tidak berupaya menjadi jurucakap sebenar bangsa Melayu.

“Kerana itulah orang Melayu tidak berbondong-bondong menyertai Bersatu. Menyedari bahawa kedudukan Bersatu tidak semakin membaik, malah menjadi lebih susut, YAB Tun Mahathir semalam mempelawa parti politik Melayu menyertai Bersatu,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu.

Menjawab kepada pelawaan Dr Mahathir semalam, Mohamad berkata, biarlah UMNO meneruskan rencananya dengan Pas dan menjayakannya.

“Kita akan buktikan bahawa strategi politik tersebut adalah lebih ampuh dan lestari.

“Kepada YAB Tun Mahathir, seruan ke arah perpaduan Melayu adalah baik. Tetapi UMNO telah lebih awal melakukannya dengan bekerjasama dengan Pas,” ujar Mohamad. – MalaysiaGazette

Dr Mahathir pelawa semua parti Melayu sertai Bersatu