Home Seni Hidup Chef Wan dinobat Tokoh Ikon Felda 2019

Chef Wan dinobat Tokoh Ikon Felda 2019

ROMPIN – Generasi kedua Felda yang berjaya membawa nama negara ke seluruh pelusuk dunia menerusi masakan, Datuk Redzuawan Ismail dinobatkan sebagai Tokoh Ikon Felda 2019 di sini, hari ini.

Redzuawan atau lebih dikenali sebagai Chef Wan menerima pengiktirafan itu daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Selancar 3 di sini, hari ini.

Beliau yang ditemui Bernama pada majlis itu berharap kejayaan itu akan mendorong generasi Felda untuk berusaha sehabis mungkin dalam mencapai kejayaan dan merealisasikan impian sehingga ke peringkat tertinggi.

“Saya generasi Felda Sungai Koyan di Lipis…gembira bila menerima pengiktirafan ini kerana merasakan usaha saya selama 35 tahun dalam bidang masakan dihargai sehingga ke peringkat ini.

“Ia juga menjadi ruang untuk saya menyumbang kembali kepada Felda dan mungkin boleh memberi nasihat dan pandangan demi kemajuan dan pembangunan Felda kerana nilainya begitu sentimental kepada saya,” katanya.

Mementingkan sikap untuk berjaya dan berpegang pada prinsip ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, pemilik restoran masakan Melayu, De.Wan 1958 itu berkata usaha tanpa jemu meletakkan beliau di tahap yang dilihat masyarakat pada masa ini.

Katanya, niat untuk berubah perlu ditanam dalam diri sendiri dan kesusahan semasa kecil mendorong beliau untuk tidak mahu berada di tangkuk sama untuk masa yang panjang.

“Saya dulu hidup susah dengan adik-beradik seramai sembilan orang, dengan pendapatan ayah yang tidak seberapa…saya turut membantu bekerja di ladang sawit selain menanam sayur untuk keperluan keluarga.

“Hari ini, saya bersyukur dan berpuas hati dengan pencapaian di dalam dan luar negara. Saya harap pencapaian ini dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia terutamanya anak Felda yang mahu berjaya dalam hidup,” katanya.

Secara peribadi, Chef Wan berkata berharap pengurusan Felda dapat mencari jalan mengembalikan kegemilangan Felda, termasuk meneroka kerjasama baharu dengan agensi terlibat seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Katanya, Felda masih mempunyai banyak tanah kosong yang boleh dimanfaatkan dengan pelbagai tanaman bernilai tinggi, yang secara tidak langsung mengurangkan keperluan negara untuk mengimport makanan luar.

“Usaha ini perlu dilakukan secara serius kerana kita tidak mahu lagi melihat peruntukan dibazirkan begitu sahaja tanpa hasil. Inilah masa untuk kita menggembleng tenaga menggunakan dana secara berhemah dan menepati sasaran,” katanya.- BERNAMA