RIYADH/DUBAI – Syarikat penerbangan, flyadeal tidak akan meneruskan tempahan bersyarat pembelian 30 buah pesawat Boeing, B737 MAX, kata pembuat pesawat tersebut selepas syarikat penerbangan itu mengumumkan ia akan beroperasi dengan menggunakan pesawat Airbus, A320.
Flyadeal mula mengkaji semula komitmen tempahan pesawat Boeing itu selepas dua pesawat B737 MAX terhempas di Habsyah pada Mac lalu dan Indonesia pada Oktober 2018, lapor Reuters.
“Kami faham bahawa flyadeal tidak akan memuktamadkan komitmennya terhadap B737 MAX pada masa ini berikutan keperluan jadual syarikat penerbvangan itu,” kata jurucakap Boeing.
Tempahan bersyarat itu, meliputi pilihan pembelian tambahan 20 buah pesawat B737MAX, bernilai AS$5.9 bilion pada harga katalog.
Syarikat penerbangan tambang murah itu akan menerima 30 pesawat A320neo bermula 2021 yang ditempah oleh syarikat induknya, Saudia pada Pertunjukan Udara Paris pada Jun lalu, katanya dalam kenyataan.
“Tempahan ini akan menyebabkan flyadeal beroperasi dengan semua pesawat A320 pada masa depan,” tambahnya.
Dua kemalangan membabitkan pesawat B737 MAX yang meragut 346 nyawa menyebabkan pesawat itu digantung operasi sehingga menyebabkan nilai pasaran Boeing kehilangan berbilion dolar.
Pengawal selia perlu meluluskan perubahan dan latihan juruterbang sebelum pesawat itu boleh terbang semula. – Agensi