KUALA LUMPUR- Tempoh urusan untuk mendapatkan kelulusan permit pembinaan dipendekkan kepada tiga bulan berbanding lebih setahun (390 hari) sebelum ini.
Cadangan tersebut akan dilaksanakan segera dengan menghapuskan syarat yang tidak diperlukan tanpa melibatkan pindaan undang-undang sedia ada.
Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat keempat Majlis Tindakan Ekonomi (MTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pagi tadi.
Urusetia MTN dalam satu kenyataan menjelaskan, penambahbaikan prosedur mendapatkan kelulusan permit pembinaan itu dapat mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan merancakkan lagi pelaburan swasta.
Selain itu, MTN juga membincangkan langkah segera yang boleh dilaksanakan untuk memacu industri pelancongan negara.
Ini bagi merangsang ekonomi domestik, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan hasil tukaran wang asing.
Antara perkara yang diberi penekanan adalah usaha meningkatkan produk pelancongan, mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, merangka semula kaedah pemasaran, mengukuhkan tadbir urus dan mempergiatkan pelancongan domestik.
“Kerajaan Pakatan Harapan turut mengutamakan langkah segera bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, memastikan pembangunan yang mampan dan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama oleh seluruh rakyat.
“Kerajaan yakin pelaksanaan langkah-langkah segera ini dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara, seterusnya meningkat kesejahteraan rakyat demi kemakmuran bersama,” katanya.- MalaysiaGazette