KOTA BHARU – Barisan kepemimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang dipilih pada Kongres Luar Biasa (EGM) persatuan itu Sabtu lepas perlu menitikberatkan soal pembayaran gaji pemain dan barisan kejurulatihan Kelantan.
Presiden The Red Warriors Club KLIA (TRWC KLIA), Rozaki Ab Kadir berkata, perkara itu perlu dipandang serius oleh kepemimpinan KAFA yang diterajui Presiden, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bagi membela nasib pemain dan barisan kejurulatihan yang telah memberikan komitmen kepada pasukan.
“Perkara itu penting bagi meningkatkan prestasi pemain pada setiap perlawanan untuk memperoleh mata bagi memastikan pasukan Kelantan terus bersaing pada Liga Premier musim hadapan.
“Selesaikan kemelut tunggakan gaji pemain dan hutang lain secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Sabtu lepas, Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah dilaporkan meminta pengurusan baharu KAFA mengambil perhatian terhadap kebajikan pemain dan barisan kejurulatihan terutama membabitkan tunggakan gaji selepas tiga bulan tidak mendapat bayaran.
Dalam pada itu, Rozaki berkata, barisan kepemimpinan baharu yang dilantik Sabtu lepas diharap dapat memberi sinar baharu kepada Kelantan dan tidak hanya mengisi jawatan semata-mata.
“Kelab penyokong dan peminat berharap agar mereka yang telah dipilih mengisi kekosongan jawatan dapat memulihkan kembali prestasi The Red Warriors dan dapat bekerja bersama terutama dalam membawa masuk penajaan bagi mengimbangi perbelanjaan pasukan.
“Kami tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti mana yang berlaku sebelum ini dengan pelbagai masalah, justeru Presiden KAFA harus bijak menangani karenah penyokong yang pelbagai lapisan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu, Mohd Zainy Mohd Zain berkata, pihaknya memuji kesanggupan Wan Abdul Rahim yang ‘berani’ mengambil tanggungjawab untuk mengetuai KAFA di sebalik pelbagai kemelut yang melanda persatuan itu ketika ini.
“Kami berharap dan percaya Wan Abdul Rahim dengan perancangannya dapat mengembalikan imej pasukan Kelantan dalam kancah Liga Malaysia dan semua pihak seharusnya memberikan peluang kepada beliau untuk menerajui KAFA.
“Namun kita mengharapkan barisan exco dapat bersama-sama memainkan peranan untuk mencari dana dan tidak meninggal presiden seorang diri yang bertungkus-lumus memenuhkan kantung KAFA,” katanya. – MalaysiaGazette