Home Seni Hidup Penyelidik Malaysia ketuai kajian fenomena kilat Antartika

Penyelidik Malaysia ketuai kajian fenomena kilat Antartika

KUALA LUMPUR – Kajian fenomena kilat di Kutub Selatan dikatakan ada kaitan dengan pemanasan global dan perubahan iklim dunia.

Kajian itu dilakukan oleh para penyelidik pelbagai negara dan diketuai oleh penyelidik dari Malaysia.

Penyelidik berkenaan ialah Pensyarah Kanan dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Dr. Mohd Riduan Ahmad.

Riduan akan bekerjasama dengan Saintis Penyelidikan KOPRI iaitu Dr. Sang- jong Park bagi mendapatkan satu penemuan baru berkaitan jenis-jenis kilat yang berlaku di Semenanjung Antartika.

“Penemuan baru itu kelak dapat memberikan panduan yang dinantikan oleh kumpulan saintis dunia bagi merungkai permasalahan tentang senario pemanasan global dan perubahan iklim yang sedang dihadapi di planet bumi,” kata satu kenyataan UTeM baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang sama, program saintifik bertempat di Ibu Pejabat KOPRI di Incheon Korea Selatan akan bermula pada 6 Julai 2019 dan mengambil selama tiga minggu berturut-turut dan
dijangka tamat pada 28 Julai 2019 bagi fasa pertama.

Seterusnya antara bulan Januari dan Februari 2020 pula akan dijalankan program kembara dan eksperimen di Stesyen King Sejong di Semenanjung Antartika selama dua bulan.

Pic 2

Pada fasa itu, kajian lanjut akan dimulakan menerusi bantuan alat pengukur kilat bagi mengukur medan elektromagnetik kilat yang dapat dikesan dalam radius 300 kilometer dari Stesen King Sejong.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Dr Raha Abdul Rahim berharap penyelidikan berkenaan akan mencapai kejayaan yang diharapkan kerana ianya bakal memberikan impak besar kepada dunia.- MalaysiaGazette