Home Ekonomi Kurang 50 peratus PKS ada insurans perniagaan

Kurang 50 peratus PKS ada insurans perniagaan

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif AXA Affin General Insurance Berhad, Emmanuel Nivet (kanan) diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Usahawan, Dr. Anis Mahmud (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Noor Azmi Mat Said (tiga kiri) membuat gimik perasmian 'AXA TakeControl SME Challenge 2019' di SME Corporation Malaysia, KL Sentral. foto FAREEZ FADZIL, 09 JULAI 2019

KUALA LUMPUR- Kurang 50 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini menginsuranskan perniagaan mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AXA Affin General Insurance Bhd., Emmanuel Nivet, kebanyakan mereka hanya mengambil pelindungan insuran untuk hartanah sahaja sedangkan syarikat tersebut mempunyai pelbagai produk yang boleh ditawarkan kepada PKS.

“Mungkin mereka merasakan tiada kepentingan untuk mengambil perlindungan lain.

“Ini semua adalah disebabkan oleh kurangnya kesedaran oleh PKS-PKS mengenai kepentingan untuk melindungi perniagaan masing-masing,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran AXA SME Challenge di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.

Menurut Emmanuel, AXA Affin mempunyai sebanyak 16 produk perlindungan berbeza khusus untuk PKS antaranya banjir, bencana alam yang melanda negara dan sebagainya.

Justeru, bagi memberi kesedaran kepada PKS, AXA Affin melancarkan SME Challenge supaya dapat memperkasakan PKS dan mendorong mereka untuk melindungi perniagaan masing-masing.

Ia yang dilancarkan ke seluruh negara itu akan memilih tiga PKS yang mempunyai cita-cita tinggi, berkemahiran, mempunyai pengetahuan dan pembiayaan yang dapat melonjakkan perniagaan masing-masing serta memiliki potensi untuk mengembangkan rangkaian.

Dalam pada itu, Mohd. Redzuan berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk mewajibkan semua PKS untuk mengambil pelindungan insurans ke atas perniagaan masing-masing.

Kerajaan sebaliknya akan terus memberi kesedaran kepada para usahawan melalui pelbagai cara termasuklah menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak swasta seperti AXA Insurance.

“Kita tidak mempunyai syarat mewajibkan PKS mengambil pelindungan insurans tetapi akan terus mendidik mereka mengenai perkara ini.

“Kerajaan tidak akan mewajibkannya,” katanya di sidang media yang sama. -MalaysiaGazette