Home Politik Lokman mahu hantar video seks Haziq-Azmin ke Indonesia

Lokman mahu hantar video seks Haziq-Azmin ke Indonesia

Datuk Lokman Nor Adam. foto IQBAL BASRI, 03 OKTOBER 2018
Datuk Lokman Nor Adam. foto IQBAL BASRI, 03 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Sekretariat Suara Rakyat akan menghantar beberapa klip video dan gambar seks di luar tabii mirip seorang menteri Kabinet yang tersebar bulan ini untuk dianalisis di sebuah syarikat forensik video di Indonesia, Khamis ini.

Pengerusinya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, keputusan analisis berkenaan boleh diketahui dalam tempoh dua hingga tiga hari dan bukannya lebih sebulan sebagaimana yang sedang dijalankan oleh pihak polis.

“Saya juga akan bawa 20 gambar (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) Azmin Ali, begitu juga 12 video Azmin, baik dalam program atau ceramah untuk disuai padan dengan video seks di luar tabii yang tular.

“Maknanya syarikat pakar ini akan ada akses fail untuk gambar Azmin di luar video seks itu. Hasilnya itu akan diserahkan pada polis,” katanya pada sidang media di luar pintu masuk bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kes video seks melibatkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan seorang menteri masih dalam proses siasatan.

Muhyiddin berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh untuk menyelesaikan kes tersebut dan hasil siasatan itu akan diserahkan kepada beliau dan Ketua Polis Negara.

Katanya, selepas itu hasil siasatan pihak polis itu juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk rujukan seterusnya.

Dalam pada itu, Lokman enggan menamakan syarikat berkenaan kerana bimbang disabotaj pihak berkepentingan.

“Institusi kehakiman Indonesia turut menggunakan perkhidmatan syarikat terbabit untuk mengesahkan ketulenan bukti mahkamah,” katanya.

Katanya, tindakan itu diambil selepas Muhyiddin memberitahu hasil analisis video seks sejenis itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pada 12 Jun lalu, Haziq Aziz mengakui dirinya seorang daripada dua lelaki yang dirakam mengadakan hubungan seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan pada Mei lalu.

Haziq turut menamakan Mohamed Azmin sebagai pasangannya dalam video itu, tetapi dinafikan Timbalan Presiden PKR itu yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Haziq kemudiannya dipecat daripada jawatan setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin susulan pengakuan itu dan diikuti PKR mengambil tindakan memecat keahliannya pada 3 Julai lalu. – MalaysiaGazette

+ posts