Home Ekonomi Pakar ramal OPR kekal

Pakar ramal OPR kekal

Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR- Standard Chartered Global Research menjangkakan tiada perubahan pada kadar dasar semalaman (OPR) selepas Bank Negara Malaysia mengurangkannya sebanyak 25 mata peratus semasa mesyuarat Mei lalu.

Dalam satu notanya, firma penyelidikan itu berkata, pemotongan OPR pada bulan Mei bertujuan untuk mengatasi beberapa petunjuk keadaan ekonomi yang semakin mencabar dan bukannya menunjukkan sebarang petunjuk negatif kepada pertumbuhan mahupun kejatuhan kadar inflasi.

Jelasnya, dasar yang dibuat oleh Jawatankuasa Dasar Monetari itu dilihat neutral.

Dalam pada itu, hanya tiga daripada 24 pakar ekonomi yang terlibat dalam kaji selidik Bloomberg meramalkan terdapat pengurangan OPR sebanyak 25 mata peratusan pada mesyuarat hari ini.

Para pembuat dasar dijangka memberi pertimbangan terhadap satu lagi pengurangan OPR kali ini sekiranya pertumbuhan eksport negara terus menurun dan kadar inflasi tidak berubah.

Selain itu, keperluan untuk mengembalikan minat terhadap pasaran bon ringgit mungkin akan menyebabkan BNM sekali lagi menurunkan OPR.

HSBC Global Research pula menjangkakan kadar OPR bakal dikurangkan pada akhir tahun ini di tengah-tengah jangkaan ekonomi domestik yang diramal mengalami kelembapan tahun depan.

“Pertumbuhan dilihat bertahan tahun ini tetapi pengurangan sebanyak 25 mata peratus adalah langkah munasabah untuk dilakukan pada suku keempat 2019.

“Ia adalah untuk mengurangkan risiko negatif pertumbuhan pada 2020,” kata Ketua Pakar Ekonomi Joseph Incalcaterra dalam satu nota semalam.

Risiko-risiko tersebut termasuklah kemerosotan eksport, kejatuhan pertumbuhan upah, penggunaan swasta yang terus menurun, pengurangan pelaburan swasta serta kesan sampingan daripada pertumbuhan bajet keseluruhan serta inflasi teras selepas penyesuaian cukai pada 2020, jelasnya. – MalaysiaGazette

+ posts