Home Seni Hidup Poster promosi teater Usman Awang diubah dalam bahasa Melayu

Poster promosi teater Usman Awang diubah dalam bahasa Melayu

Poster promosi asal Don’t Let Usman Awang Know dalam Bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR – Penganjur pementasan Don’t Let Usman Awang Know membuat reka bentuk baharu poster promosi persembahan tersebut dengan meletakkan tajuk versi bahasa Melayu, Jangan Beritahu Usman Awang selepas mendapat kritikan ramai.

Pengumuman itu dikongsikan waris Sasterawan Negara Usman Awang, Haslina Usman di akaun Facebooknya sambil menghargai usaha penganjur.

“Terima kasih Dato’ Faridah Merican dan semua yang terlibat memperbetulkan isu poster pementasan penghormatan untuk arwah SN Usman Awang.

“Kami warisnya amat menghargai usaha semua yang terlibat,” tulis Haslina.

Sebelum ini, Haslina pernah meluahkan rasa kecewa dengan reka bentuk poster iklan yang dakwanya seperti meminggirkan Bahasa Melayu.

Pandangan sama turut disuarakan Persatuan Penulis Nasional (Pena) yang membantah ketiadaan Bahasa Melayu dalam poster pementasan itu.

Pementasan Jangan Beritahu Usman Awang dijadual berlangsung di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) dari 11 hingga 14 Julai ini. – MalaysiaGazette