Home Utama Apa transgender, awak dah periksa dia ke?

Apa transgender, awak dah periksa dia ke?

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Isu pelantikan seorang transgender, Rania Zara Medina sebagai ahli Country Coordinating Mechanism (CCM) turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang ditanya mengenai pelantikan Rania oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye sebagai ahli CCM berkata, beliau tidak pasti dakwaan bahawa Rani Zara adalah seorang transgender.

“Apa transgender? Awak dah periksa dia ke? Betul ke dia transgender,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Perlantikan Rania Zara mendapat kecaman hebat rakyat apabila Kementerian Kesihatan melantiknya yang didakwa mewakili kalangan populasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut kerana tidak bertemu dengan individu berkenaan.

“Saya tidak tahu macam mana dia transgender, saya tidak jumpa dengan dia,” katanya lagi.

Semalam, Dr. Lee berkata, lantikan dibuat dalam kalangan populasi berkenaan dan disahkan melalui surat lantikan oleh Pengerusi CCM iaitu beliau sendiri.

“Fungsi CCM adalah bagi mengawal HIV/AIDS adalah sejajar dengan Pelan Strategik Nasional untuk menangani wabak HIV/AIDS di negara ini.

“Populasi sasar ini termasuk transgender, men-sex-with-men, female sex worker, people who use drug dan people living with HIV/AIDS (PLHIV),” katanya dalam satu kenyataan semalam. -MalaysiaGazette