KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wee Ka Siong mempersoalkan bagaimaa Lim Guan Eng boleh menyatakan rakyat dapat berjimat apabila kerajaan mengambil alih empat syarikat konsesi lebuh raya sedangkan rakyat kena menanggung pembayaran pinjaman serta faedah RM6.2 bilion itu dan perlu membayar caj kesesakan setelah konsesi tol tamat.
Ahli Parlimen Ayer Keroh itu berkata, dulu Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk memansuhkan tol tetapi sekarang mereka perkenalkan tol untuk selama-lamanya.
“Saya tak faham dan tak nampak apa rasionalnya Menteri Kewangan Lim Guan Eng kata ianya tidak membebankan rakyat,” katanya.
Jelasnya, apabila PH memperkenalkan caj kesesakan, ia bermakna rakyat perlu membayar untuk menggunakan lebuh raya ini walaupun kontrak syarikat konsesi sudah tamat.
Tegas Ka Siong, ianya berbeza semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) apabila merobohkan plaza tol yang membawa maksud ‘tol dimansuhkan’.
Beliau turut mendakwa Guan Eng enggan menjawab soalan tambahan mengenai ‘premium over book value’, lantaran itu Ka Siong bertanya adakah menteri kewangan itu tidak faham istilah tersebut.
Katanya, ramai penganalisis yang berpendapat tawaran RM6.2 bilion itu adalah RM2.8 bilion lebih tinggi dari “book value” atau nilai buku untuk 4 lebuh raya tersebut.
“Itulah sebab Menteri tak mahu jawab.
“Dia juga tak jawab soalan saya tentang pendapatan empat lebuh raya tersebut untuk setiap tahun sejak tahun 2015 kerana tahu bahawa trafik untuk semua lebuh raya tersebut semakin turun setiap tahun setelah projek penyambungan LRT1 dan LRT2 serta MRT1 dibuka dan tol di Lebuhraya Persekutuan dimansuhkan sepenuhnya,” ujarnya.
Ka Siong menambah, tiga dari empat lebuhraya itu mengalami kerugian tiap-tiap tahun kecuali Lebuh Raya Damansara – Puchong (LDP) yang masih untung.
Menurutnya, trafik dijangka terus menurun dan kerugian akan bertambah besar pada masa hadapan apabila LRT3 dan MRT2 dibuka.
Sehubungan itu, soalnya, kenapa kerajaan mahu mengambil alih syarikat-syarikat yang tidak untung.
“Oleh itu, Menteri juga tak mahu jawab,” ujarnya.
Ka Siong berkata, dulu Setiausaha Politik Guan Eng ada mengeluarkan formula khas untuk tol yang mana menurut formula Tony Pua, Lebuhraya MEX boleh diambil alih dengan nilai RM344 juta.
“Kenapa tak ambil alih MEX? Kalau ikut formula Tony Pua, kerajaan hanya perlu membayar RM300 juta saja untuk ambil alih LDP. Tetapi kenapa sekarang PH perlu memperuntukkan RM6.2 bilion untuk LDP dan 3 lagi tol yang tidak untung?,” sindirnya. – MalaysiaGazette