KUALA LUMPUR- Pengeluaran komersial bagi kilang petrokimia yang terbakar di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang baru-baru ini akan tetap dimulakan hujung tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, proses baik pulih kilang tersebut berada di landasan tepat supaya dapat beroperasi dengan fasiliti lain di Komplek Bersepadu Petronas (PIC) dekat Pengerang, Johor.
“Ia akan memulakan operasi komersial mengikut jadual iaitu hujung tahun ini.
“Ia berada di landasan (untuk beroperasi bersama fasiliti lain),” katanya selepas menyampaikan ucaptama Persidangan Antarabangsa Pengurusan Perniagaan (IICBM) anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.
April lalu sebuah kilang petrokimia bagi pembangunan hab industri minyak dan gas penapis di Pengerang, Johor meletup dan terbakar pada jam 1.25 pagi.
Menerusi video yang tular di media sosial, letupan itu turut menyebabkan gegaran yang dirasai sehingga ke Pasir Gudang.
Petronas mengesahkan dua pekerja dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut.
Dalam pada itu, kemudahan gas asli cecair terapung (PFLNG) kedua Petronas dijangka siap menjelang suku pertama tahun depan.
“Ia akan siap dan beroperasi pada tahun depan,” katanya.-MalaysiaGazette