Home Nasional Penolong Pesuruhjaya SPRM ganti Mokhtar, siasat kehilangan Pastor Koh, Amri

Penolong Pesuruhjaya SPRM ganti Mokhtar, siasat kehilangan Pastor Koh, Amri

KUALA LUMPUR – Penolong Pesuruhjaya Perundingan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( Pemeriksaan dan Perundingan), Azian Umar dilantik menganggotai Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.

Menurut kenyataan Kementeri Dalam Negeri, Azian akan menggantikan bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd Noor yang menarik diri Selasa lalu.

“Diharapkan Pasukan Petugas Khas ini dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cekap, beramanah dan berintegriti tanpa menimbulkan apa-apa prejudis atau syak wasangka daripada mana-mana pihak,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Mokhtar bersikap berkecuali namun keluarga Koh menentang pelantiakannya.

Selain Azian, pengamal bebas undang-undang, Datuk Roger Tan Kor Mee turut dilantik menganggotai pasukan itu.

Menurut kenyataan itu, pasukan yang ditubuhkan itu kini merangkumi tujuh orang yang diketuai bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Rahim Uda.

Ia turut dianggotai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Zamri Yahya; Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid.

Selain itu, Pegawai Undang-Undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd. Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis KDN, Mohd. Russaini Idrus. -MalaysiaGazette