KUALA LUMPUR – Exco Perak yang disyaki merogol seorang pembantu rumah warga Indonesia wajar digantung tugasnya ataupun beliau sendiri patut memohon untuk bercuti bagi memudahkan proses penyiasatan dijalankan.
Oleh kerana ini melibatkan kes jenayah yang serius, yang turut diakui oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal, maka tindakan segera wajar diambil untuk menggantungkan tugas Exco tersebut.
“Kor Ming juga sepatutnya mengarahkannya bercuti sementara disiasat,” kata Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie
MCA memuji pihak polis yang mengambil berat akan kes ini serta tindakan pantasnya menahan suspek memandangkan ini adalah kes berat, lebih-lebih lagi ia melibatkan seorang wakil rakyat serta anggota Exco.
Bagaimanapun, Seai Kie mempersoalkan percanggahan kenyataan peguam dan polis berhubung kehadiran tertuduh secara sukarela dan ditangkap.
“Soalnya, siapakah yang berbohong?,” soalnya.
Namun apa yang lebih penting ialah keadilan mesti ditegakkan dan kebenaran haruslah didedahkan dan rakyat berhak untuk mengetahui keadaan sebenarnya.
Katanya, Wanita MCA percaya bahawa yang benar tetap benar dan juga yakin dengan kecekapan dan kebolehan pihak polis dalam menjalankan siasatan mereka dan diharap agar ia dapat disempurnakan secepat mungkin dan yang bersalah dikenakan hukuman yang setimpal.
Ini penting demi maruah dan imej kerajaan negeri dan negara, ujar beliau. – MalaysiaGazette