KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu akan menunggu hasil siasatan polis sebelum membuat sebarang keputusan terhadap ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang dikaitkan dengan tuduhan melakukan serangan seksual terhadap pembantu rumahnya.
Beliau berkata pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung perkara itu.
“Baik di peringkat parti dan kepimpinan negeri (Perak) akan tunggu hasil siasatan polis. Mari kita tunggu sebelum keputusan dibuat berpandukan kepada hasil siasatan polis,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau ditanya adakah parti itu akan mengambil tindakan terhadap Exco terbabit.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga Indonesia membuat laporan polis di Balai Jelapang Isnin lalu berhubung dakwaan rogol itu.
Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain dilaporkan berkata Exco berkenaan telah ditahan pada Selasa bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
— BERNAMA
Artikel berkaitan
Polis terima laporan exco kerajaan Perak disyaki rogol pembantu rumah