Home Utama Pindaan Akta MKN ditarik balik bagi kajian lanjut – PM Mahathir

Pindaan Akta MKN ditarik balik bagi kajian lanjut – PM Mahathir

Dr. Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang ditarik balik semalam adalah bagi melakukan kajian lanjut berikutan terdapat pelbagai pendapat yang berbeza mengenai undang-undang itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata berikutan itu kajian perlu dilakukan dalam usaha memasukkan beberapa idea tambahan yang telah disampaikan kepada kerajaan.

“Kita dapati banyak pendapat yang berbeza-beza dan undang-undang itu perlu dikaji untuk memasukkan idea-idea yang telah disampaikan kepada kita,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Rang Undang-Undang (RUU) MKN (Pindaan) 2019 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dijadualkan untuk bacaan kali kedua dan dibahaskan di Dewan Rakyat, ditarik balik, semalam.

Ditanya jangka masa pembentangan semula pindaan akta itu, Dr Mahathir berkata beliau tidak dapat memberi jaminan bila, namun berharap ia diselesaikan secepat mungkin.

— BERNAMA