KUALA LUMPUR – Dengan keadaan politik negara tidak menentu khususnya ketika beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) terpali dengan kontroversi.
Barisan Nasional (BN) dinasihatkan menggunakan peluang itu dengan sebaik mungkin bagi memastikan tampuk pemerintahkan kembali kepada perikatan parti itu.
Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah dalam satu persidangan di Chicago, Amerika Syarikat (AS) mendedahkan, rakyat ketika ini berkecamuk dengan politik tanah air yang tidak menentu.
Jelas Murugiah yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, rakyat Malaysia sangat tertekan dengan corak kepimpinan yang bukan sahaja tidak konsisten dengan pelbagai janji dalam manifesto sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Sebaliknya, kontroversi serta skandal yang dihadapi pemimpin negara juga menyebabkan agenda rakyat terabai, belum lagi pertelingkahan dalam parti tertentu.
“Kepimpinan BN sebenarnya harus mencalonkan bakal calon Perdana Menteri untuk memperkukuhkan lagi parti dan dasar parti Barisan Nasional agar dapat menyakinkan rakyat dalam usaha memulih, memperkasa dan juga mengembalikan semula kekuatan parti.
“Kita sebagai parti pembangkang harus mengambil langkah yang lebih drastik untuk mengembalikan BN dan salah satu tindakan yang wajib adalah dengan mengumumkan calon Perdana Menteri yang bukan sahaja berwibawa, sebaliknya dapat menggalas tanggungjawab besar memikul mandat negara.
“Sebenarnya rakyat perlu lihat dan yakin bahawa jika BN diberikan peluang untuk memerintah kembali sebaliknya sejarah terdahulu tidak lagi berulang apatah lagi intipati manifesto kerajaan PH tidak lebih daripada yang menjanjikan segala macam demi undi selain daripada fitnah serta pembohongan bagi kemenangan besar pada PRU lepas.
“BN perlu buat pengumumkan calon Perdana Menteri dengan cepat bagi pulihkan keyakinan bagi menghadapi PRU ke-15 kelak,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jelas Murugiah lagi, seharusnya kesilapan lampau sehingga kekalahan besar itu dijadikan pengajaran cukup berguna bagi memastikan ia tidak berulang lagi pada masa hadapan.
“Kita juga harus mengikuti perkembangan dan peredaran dunia di mana pilihan raya di negara lain juga mengalami ‘tsunami politik’ yang cukup ketara serta lebih drastik daripada negara kita sebenarnya.
“Hakikatnya ini adalah satu pengajaran cukup berharga dan sepatutnya terpahat di sanubari masing-masing apatah lagi melihat keadaan semasa pada masa ini, kita sebenarnya mampu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN.
“Saya sangat berharap semua kepimpinan dan ahli akar umni semua peringkat bersatu hati memperhalusi cadangan pengumuman jawatan Perdana Menteri ini agar dapat memperkukuhkan keyakinan rakyat selain menyatupadukan kita sendiri dalam menghadapi pilihan raya mencabar nanti,” tegasnya. –MalaysiaGazette