Home Ekonomi IPP Mei naik 4%

IPP Mei naik 4%

KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 4.0 peratus pada bulan Mei 2019 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan pada bulan Mei 2019 dipacu oleh peningkatan dalam semua indeks: elektrik (5.7%), pembuatan (4.2%) dan perlombongan (3.0%).

Output sektor pembuatan meningkat sebanyak 4.2 peratus pada bulan Mei 2019 berbanding bulan Mei 2018 selepas mencatatkan pertumbuhan 4.3 peratus pada bulan April 2019, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, subsektor utama yang mencatatkan peningkatan pada bulan Mei 2019 adalah Produk Kelengkapan Pengangkutan dan Pembuatan Lain (6.9%), Produk Peralatan Elektrik dan Elektronik (3.7%) dan Produk Petroleum, Kimia, Getah dan Plastik (3.2%).

Output sektor perlombongan mencatatkan peningkatan sebanyak 3.0 peratus pada bulan Mei 2019 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya yang mana merupakan pertumbuhan tertinggi sejak September 2017.

Pertumbuhan ini disumbangkan oleh indeks gas asli (7.6%), manakala indeks minyak mentah menyusut sebanyak 2.0 peratus.

Output sektor elektrik tumbuh sebanyak 5.7 peratus pada bulan Mei 2019 berbanding bulan Mei 2018.

IPP Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei 2019 merekodkan pertumbuhan sebanyak 3.2 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan dalam sektor elektrik (5.8%) dan sektor pembuatan (4.1%), sementara sektor perlombongan menyusut sebanyak 0.1 peratus. – MalaysiaGazette