Home Seni Hidup Kerja amal Nisa Bakri diiktiraf

Kerja amal Nisa Bakri diiktiraf

Puan Sri Nisa Bakri telah dipilih menerima Anugerah Usahawan Wanita ASEAN 2019

KUALA LUMPUR – Siapa sangka, hobi beliau yang bermula sekadar gemar memasak dan menjamu rakan-rakan dengan pelbagai masakan tradisi telah membuka ruang dan peluang untuk wanita ini terbabit dalam kerja amal.

Semuanya bermula empat tahun lalu apabila Puan Sri Shariffa Nisa atau lebih mesra disapa Nisa Bakri memulakan program Wakaf Ramadan Food Mission apabila beliau menyediakan perkhidmatan membekal makanan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Program tersebut yang dilakukan bersama rakan-rakan baiknya itu telah menjelajah ke merata tempat untuk mendekati dan menyantuni antaranya keluarga miskin yang masih berlangsung sehingga ke hari ini.

Walaupun memberi makanan percuma, prinsip Nisa Bakri ini hanya satu sahaja iaitu memasak makanan dengan penuh kasih sayang dan ikhlas kerana ia menghubungkan jiwa sesama manusia selain memberi kepuasan kepada diri sendiri.

_MGF3952
Nisa Bakri berharap anugerah diterimanya dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Beliau yang juga usahawan perencah segera dan juga penulis buku ‘I Am Not A Chef’ meluahkan rasa syukur kerana menerusi masakan, beliau mampu berkongsi rezeki dengan semua orang tanpa mengira lapisan masyarakat.

Bagi menghargai sumbangan isteri bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri ini, Nisa dijemput menghadiri Persidangan Wanita ASEAN dan Majlis Anugerah 2019 (AWEN 2019) di JW Marriott Hotel Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Beliau telah diberi pengiktirafan apabila dipilih menerima Anugerah Usahawan Wanita ASEAN 2019 bagi meraikan pencapaian wanita luar biasa dalam perusahaan mikro, kecil, sederhana dan besar dari setiap negara anggota ASEAN.

Anugerah anjuran AWEN itu diberikan berdasarkan komitmen, visi dan kepimpinan mereka yang telah memberi impak luar biasa kepada masyarakat.

_MGF3776
Nisa Bakri juga merupakan usahawan perencah masakan dan pemilik Serasi Catering.

“Saya berharap anugerah ini dapat memberi inspirasi, memotivasi dan menjadi penyumbang besar kepada semua rakyat Malaysia dan seluruh dunia.

“Saya harap saya dapat memberi kelainan kepada semua wanita, ibu, nenek, anak-anak, remaja dalam setiap aspek kehidupan mereka.

“Saya juga berharap untuk menjadi ibu kepada semua orang di dunia ini,” katanya yang terpilih dalam kalangan sembilan lagi usahawan wanita dari Malaysia.

Mengulas lanjut, Nisa yang juga pemilik Serasi Catering mengakui beliau seorang yang tidak betah untuk duduk diam.

Tambah wanita yang sudah bergelar nenek ini, ada sahaja aktiviti yang dilakukan seolah-olah tidak kenal erti penat.

“Faktor status dan umur bukan menjadi penghalang untuk bergerak aktif dan jangan hanya duduk sahaja di rumah menunggu suami pulang.

“Setiap wanita yang dilahirkan adalah luar biasa dan ada kelebihan tersendiri. Kita tidak boleh membandingkan dengan kaum lelaki kerana masing-masing saling melengkapi.

“Selepas ini, perancangan saya ingin membantu usahawan wanita menguasai era digital untuk bagaimana mereka memasarkan produk mereka secara meluas.

“Usahawan wanita kena akui perniagaan atas talian (online) semakin popular dan senario sudah berubah. Bisnes online boleh membawa produk ke pentas dunia walaupun seorang wanita hanya pandai membuat kraftangan di rumah,” katanya bersungguh-sungguh.

_MGF3743
Nisa Bakri berkongsi anugerah yang dimenangi bersama rakan-rakan pada majlis minum petang.

Diminta berkongsi tips agar wanita kekal positif dalam hidup, Nisa hanya tersenyum menjawab: “Saya sebenarnya tidak ada masa melayan kutukan atau benda tidak berfaedah terutama di media sosial.

“Selalunya mana yang menulis bukan-bukan saya akan blocked mereka.

“Jadi jangan ambil pusing kata-kata nista kerana itu merugikan diri, sudahlah masa terbuang hati pula sakit. Sebaliknya teruskan dengan usaha kita, pasti kerjayaan akan berada di dalam genggaman,” katanya tersenyum manis.

Sementara itu, tahun lalu, Nisa sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila mementaskan keunikan air tangannya di salah satu kota fesyen dunia terkenal dunia iaitu London.

Pada Minggu Fesyen London 2018 itu, beliau diberi kesempatan menghidangkan pelbagai masakan Malaysia asli dan unik kepada semua hadirin yang terdiri daripada golongan VVIP pada acara fesyen yang berprestij itu.

Ketika ini, Nisa memiliki tujuh jenis pes atau perencah segera jenama nisabakri dan antara yang popular di pasaran adalah asam pedas dan kari ikan. – MalaysiaGazette