KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak pernah bercita-cita tinggi untuk menjadi perdana menteri.
“Saya tidak bercita-cita tinggi, saya tidak pernah menetapkan saya mesti menjadi perdana menteri satu hari seperti yang dilakukan oleh orang lain,” katanya kepada Nikkei Asian Review.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah itu terbuka untuk memikul peranan yang lebih besar dalam pentadbiran persekutuan jika pengganti bapanya mahu beliau terus berkhidmat.
Malah, Mukhriz, 54, juga terbuka untuk menggalas tanggungjawab di peringkat pusat selepas ini dan ia tidak semestinya menjadi perdana menteri.
“Saya terbuka dan ia bergantung kepada kepimpinan pada ketika itu, mengikut kesesuaian saya.`
“Seandainya saya diperlukan oleh negara untuk berkhidmat di peringkat persekutuan, saya sedia dan mampu menggalas tanggungjawab itu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau sama sekali tidak akan mengangkat dirinya sebagai perdana menteri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun beliau terbuka jika peluang terbuka.
Mengenai rancangan peralihan kuasa antara ayahnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar, Mukhriz berkata, majlis presiden menyedari perjanjian antara kedua-duanya. Walau bagaimanapun, beliau menafikan wujudnya tempoh masa yang dipersetujui.
“Tidak ada persetujuan bahawa ia mesti dilakukan dalam dua tahun, mungkin ada cadangan seperti itu, tetapi tiada apa yang dinyatakan di atas kertas atau perjanjian lisan,” katanya.
Mukhriz berkata, kesepakatan yang dicapai dalam kalangan parti komponen kerajaan adalah Mahathir harus diberikan masa yang mencukupi untuk memperbaiki ekonomi dan kewangan negara sebelum menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.
“Beliau (Mahathir) perlu diberi masa yang cukup untuk melakukan apa yang beliau mahu laksanakan . Walaupun kita akui umurnya, tetapi beliau tidak menunjukkan tanda-tanda untuk memperlahankannya” tambah Mukhriz.
Mukhriz menegaskan, tidak ada perebutan politik dalam Pakatan Harapan seperti yang dilaporkan.
Malah, tambahnya, tidak ada pertikaian dalam kalangan parti pemerintah mengenai kedudukan Anwar sebagai bakal perdana menteri, selepas didakwa wujud saingan antara Presiden PKR itu dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Pengertian saya adalah kerana majoriti percaya bahawa Anwar bakal menjadi pengganti, maka beliau (Mahathir) perlu diberi masa yang cukup untuk melakukan apa yang perlu dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette