PEKAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkemungkinan akan mengenakan tanjak dan sampin almarhum ayahanda baginda pada istiadat pertabalan yang dijadualkan pada 30 Julai ini.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah baginda berhasrat mahu melihat suaminya mengenakan persalinan yang dikenakan Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah semasa ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh pada 26 April 1979.
Demi merealisasikan hasrat itu, Tunku Azizah hari ini berkenan mencemar duli ke Istana Abu Bakar di sini bagi mencari persalinan itu untuk dibawa pulang ke Istana Negara bagi dipersembahkan kepada Sultan Abdullah
“Saya mahu mencadangkan baginda memakai persalinan ini untuk mengambil berkat ayahanda (Almarhum Sultan Ahmad Shah)… tapi baginda akan memakai muskat baharu kerana muskat yang ada tidak muat dengan baginda,” titah baginda kepada pemberita di Muzium Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.
Sultan Abdullah akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada istiadat yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara, dan menariknya ia diadakan pada Hari Keputeraan baginda.
Raja Permaisuri Agong seterusnya mengakui bahawa baginda telah mencari muskat, tanjak, sampin dan bengkung milik almarhum ayahanda mentua baginda, namun tidak menemuinya sebelum ini.
“Saya mencari di mana tanjak disimpan kerana hanya muskat disimpan di sini (Muzium Sultan Abu Bakar) tapi tiada siapa yang tahu… jadi hari ini saya ke Istana Abu Bakar dan melihat tanjak ada disimpan di situ, bersama sampin dan bengkung,” titah baginda.
Tunku Azizah bertitah, tanjak yang digunakan Almarhum Sultan Ahmad Shah mempunyai lambang Jata Negara di bahagian hadapan, berbeza daripada tanjak baharu yang tidak mempunyai jata itu.
“Saya akan minta tanjak dan sampin ini diikat semula (benang) bagi mencantikkan keadaannya untuk digunakan semula,” titah baginda.
Tunku Azizah bertitah persalinan pertabalan itu juga mempunyai nilai sentimental sendiri kerana pernah digunakan oleh dua Yang di-Pertuan Agong iaitu pada istiadat pertabalan 1979 dan 1984. – Bernama