Home Ekonomi Bursa dijangka cecah paras 1,680 mata

Bursa dijangka cecah paras 1,680 mata

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mencatatkan peningkatan semula dengan indeks utama mencecah paras 1,680 mata minggu depan susulan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) mungkin diturunkan bulan ini.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan), Phillip Capital Management Asia-Pacific, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, susulan pergerakan kukuh yang tidak pernah dicatatkan saham global sebelum ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka meningkat semula kepada 1,680.

Jangkaan itu akan turut dipacu oleh petunjuk daripada Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed), Jerome Powell mengenai kemungkinan penurunan kadar faedah.

Indeks saham Wall Street mencecah paras tertinggi baharu pada Khamis lepas memandangkan pelabur telah sedia menjangkakan isyarat penurunan kadar faedah daripada kenyataan Powell, katanya.

“Kenyataan terbaru Powell itu telah meredakan keraguan bahawa bank pusat mereka boleh berubah fikiran berhubung keputusan untuk mengurangkan kadar. Ini susulan pengumuman data pekerjaan yang kukuh, tidak seperti dijangkakan, pada minggu lepas,” katanya kepada Bernama.

Walaupun laporan pekerjaan AS kukuh, kenyataan Powell menunjukkan bahawa prospek Fed terhadap kadar faedah kekal tidak berubah.

Keadaan yang berlaku baru-baru ini telah mendorong saham meningkat secara ketara dan pada masa sama menyebabkan dolar AS mengalami penyusutan selama tiga hari berturut-turut.

S&P 500 meningkat sebanyak 0.2 peratus untuk ditutup pada 2,999.91 pada Khamis — sebelum itu ia mencecah paras tertingginya pada 3,002 — yang merupakan prestasi penutup pasaran tertinggi bagi penanda aras itu dalam sejarahnya selama lebih 60 tahun.

Purata Perindustrian Dow Jones yang menempatkan dagangan saham mewah melepasi paras 27,000 buat kali pertama dengan diterajui saham dalam sektor penjagaan kesihatan selepas pentadbiran Presiden Donald Trump memutuskan untuk menghapuskan pelan mengehadkan rebat ke atas ubat-ubatan.

Indeks itu naik 0.9 peratus kepada 27,088.08 manakala Nasdaq 100 yang bertumpukan saham teknologi ditutup lebih rendah sebanyak 0.1 peratus selepas mencapai paras tertinggi baharu pada 7,934.6 mata dengan ia ditutup pada 7,896.78 mata.

Di peringkat domestik, Nazri Khan berkata Malaysia telah menduduki ranking negara terbaik dunia untuk tujuan pelaburan atau menjalankan perniagaan bagi 2019 oleh majalah CEOWORLD.

“Pencapaian eksklusif ini akan meningkatkan aliran pelaburan langsung asing ke negara kita, yang secara langsung meningkat pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya.

Mengenai analisis teknikal, beliau berkata walaupun terdapat pembetulan kecil di bawah paras 38.20 peratus Fibonacci Retracement, beliau yakin perkembangan positif FBM KLCI sejak Mei masih berterusan.

“Ini kerana belum ada perkembangan negatif yang benar-benar membawa kesan — satu petunjuk bahawa prestasi kukuh masih menguasai sentimen pasaran. Daripada perspektif teknikal kami, ini dilihat sebagai sekadar tempoh rehat yang lazim.

“Kecenderungan meningkat ini masih boleh berterusan apabila tempoh rehat tersebut berakhir. Selain itu, pembentukan corak pembalikan ‘Bullish Divergence’ memberi isyarat awal bahawa aliran itu beralih daripada rendah ke arah meningkat,” katanya.

Beliau berkata paras sokongan segera kekal pada 1,658 mata diikuti oleh sokongan kritikal pada 1,600 mata.

Mengenai saham pilihannya minggu depan, beliau menekankan GD Express Carrier Bhd dan Westports Holdings Bhd, daripada sektor pengangkutan.

Bagi pelabur yang menghindari risiko, beliau berkata mengelakkan saham global disebabkan risiko yang tidak menentu merupakan keputusan terbaik, terutama apabila AS dan China tidak mencapai persefahaman kukuh berikutan pertikaian perdagangan antara mereka.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan tinggi dalam tempoh dua hari pertama tetapi kembali rendah pada hari-hari seterusnya, memandangkan bursa tempatan mengalami pengambilan untung di tengah-tengah pasaran terlebih beli.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 13.08 mata kepada 1,669.45 daripada 1,682.53 seminggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas turun 61.04 mata kepada 11,844.25, Indeks FBMT 100 susut 71.91 mata kepada 11,669.51 dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 32.43 mata kepada 12,241.92.

Indeks FBM Ace menguncup 10.28 mata kepada 4,650.13 dan FBM 70 turun 12.4 mata kepada 14,877.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 156.42 mata kepada 16,642.19, Indeks Perladangan susut 65.85 mata kepada 6,911.28 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 1.2 mata kepada 161.32.

Jumlah dagangan mingguan menguncup kepada 12.99 bilion unit bernilai RM10.26 bilion daripada 14.56 bilion unit bernilai RM10.22 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 9.36 bilion saham bernilai RM9.4 bilion daripada 10.53 bilion saham bernilai RM9.30 bilion.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 1.92 bilion unit bernilai RM411.56 juta berbanding 1.87 bilion unit bernilai RM380.07 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 4.53 bilion saham bernilai RM2.55 bilion daripada 2.14 bilion saham bernilai RM533.77 juta minggu lepas. – MalaysiaGazette

+ posts