Home Dunia Mesir minta bantuan Interpol dapatkan semula kepala patung firaun

Mesir minta bantuan Interpol dapatkan semula kepala patung firaun

LONDON – Mesir telah meminta bantuan Interpol untuk mendapatkan semula kepala patung firaun Tutankhamun yang dijual pada harga £4.7 juta pada lelongan di London minggu lalu.

Satu tuntutan mahkamah telah dilancarkan di United Kingdom bagi pihak Mesir, lapor euronews.

Jawatankuasa Antikuiti Mesir menerusi satu kenyataan berkata, ia ‘sangat tidak berpuas hati’ dengan firma lelongan Christie kerana tidak mengendahkan permintaannya utnuk menangguhkan penjualan itu.

Kenyataan itu menambah, ‘kejutan besar’ juga dirasai daripada sokongan yang tidak dijangkakan dari pihak berkuasa Britain terhadap permintaan itu.

Pihak berkuasa Mesir memulakan kempen menundakan lelongan itu pada Khamis lalu ketika terdapat dakwaan patung yang diperbuat daripada kuarzait dengan ketinggian 28.5 sentimeter itu telah dicuri dari Kuil Karnak di Luxor.

Bagaimanapun Christie kekal menyatakan bahawa ia telah menyediakan maklumat yang meluas mengenai patung itu.

Bercakap kepada The Guardian, firma lelongan itu berkata, para pegawai Mesir telah dijemput untuk bertemu wakil firma itu bagi membincangkan dokumen berkaitaan, namun jemputan tersebut ditolak.

Jawatankuas Antikuiti Mesir berkata, tiada bukti sah tindakan atau dokumen menunjukkan membawa keluar artifak itu dari negara tersebut adalah sah.

Patung manusia berusia 3,000 tahun itu dijual daripada Resandro Collection, koleksi peribadi seni Mesir pada 2016 pada harga lebih £3 juta.

Ia menggambarkan tuhan matahari dan udara Mesir kuno, Amun, dengan ciri-ciri muka firaun Tutankhamun, yang merupakan seorang budak.

Sebelum lelongan pada minggu lalu, kenyataan Christie menyatakan bahawa firma itu mengiktiraf objek seperti itu ‘boleh menimbulkan perbincangan yang rumit mengenai masa lalu’, namun ia akan ‘terus menyediakan tempat pasaran yang telus dan sah yang menyokong standard tertinggi untuk pemindahan objek’. – Agensi

1 Komen

Comments are closed.