KUALA LUMPUR – Tiga perkara harus dilaksanakan oleh ahli UMNO jika mahu parti terus bergerak ke depan dan bangkit dengan gemilang.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tiga perkara itu ialah solidariti, kerjasama antara satu sama lain dan mengelakkan budaya mengipas sesama pemimpin.
Katanya, jika apa yang dinyatakan itu dipatuhi, beliau yakin dan percaya UMNO boleh bangkit semula dengan pemikiran yang baharu.
“Kita umpama berada dalam satu kapal, kemudian kita dapati kapal kita rosak dan bermasalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
“Lalu kita berlabuh dan baiki kerosakan itu. Apabila dah mula pulih dan kapal sudah nak berlayar, ada pula yang mahu menebuknya.
“Namun, kita mampu belayar, tetapi dalam pelayaran itu ada pula ‘lanun’ laut yang cuba merampas dan mereka yang berada dalam kapal itu terjun ke laut,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Marang, Terengganu, hari ini.
Menurut Mahdzir, dalam keadaan semua terkapai-kapai di lautan, masih ada lagi yang cuba menyalahkan antara satu sama lain kerana menyerahkan kapal itu kepada ‘lanun’.
Katanya, jika begitu keadaannya, ketika UMNO masih tidak stabil selepas PRU14, UMNO tidak akan ke mana, malah parti itu akan hanyut begitu sahaja.
Sehubungan itu, beliau mahu ahli UMNO menanam pemikiran baru dalam diri masing-masing untuk memperkukuhkan parti.
“Inilah pentingnya solidariti, kerjasama dan sikap berganding bahu, bukan kipas mengipas pemimpin, yang mana perbuatan ini tidak akan menguntungkan parti.
“Bagaimanapun, saya lihat UMNO Bahagian Marang berada dalam keadaan cukup baik dengan semua mantan ketua bahagian hadir dalam mesyuarat hari ini. Ini tandanya solidariti yang kuat,” katanya. – MalaysiaGazette